My Add

Sunday 9 December 2012

JMPP mahu PM bertindak tegas ke atas LGBT

PULAU PINANG, SABTU, 08 Disember, 2012: Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) hari ini menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendesak kerajaan bertindak lebih tegas terhadap aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam.

Pengerusinya, Mohd. Hafiz Noordin berkata, JMPP mahu kerajaan bertindak lebih tegas terhadap pihak yang cuba menghalalkan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Katanya, gejala songsang itu dilihat semakin menular dalam kalangan masyarakat termasuk umat Islam sendiri.

"LGBT jelas bertentangan dengan ajaran Islam, jadi tidak sepatutnya gejala itu menerima sokongan daripada mana-mana pihak terutama umat Islam sendiri," katanya selepas menyerahkan memorandum itu dalam Majlis Makan Tengah Hari Perdana Menteri Bersama Masyarakat Bayan Baru di pekarangan bangunan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.

Tuntutan berkenaan juga selaras dengan hasil resolusi yang diluluskan dalam Himpunan Sejuta Umat yang dianjurkan di Padang Kota Lama di sini Oktober lalu.

Sebelum ini, JMPP pernah menghantar memorandum sama kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Mohd. Hafiz menambah, pihaknya juga mahu kerajaan meningkatkan pengawalan terhadap akidah umat Islam daripada sebarang usaha dan cubaan untuk memurtadkan golongan berkenaan.

"Kita cadangkan kerajaan mewujudkan sebuah pusat pemulihan akidah khusus untuk memberi motivasi dan nasihat agar mereka mampu mempertahankan akidah masing-masing.

"Selain itu, pusat ini juga boleh memberikan khidmat kaunseling kepada umat Islam sekali gus melahirkan ummah yang lebih memahami ajaran Islam sebenar," katanya.

Sehubungan itu jelasnya, memorandum berkenaan dihantar kepada Perdana Menteri selaras dengan bidang kuasa kerajaan dalam mempertahankan akidah umat Islam dan memastikan kesucian agama Islam sentiasa terjamin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment