My Add

Saturday 15 December 2012

Kapal latihan TLDM Gagah Samudera dilancar

 *DR AHMAD Zahid Hamidi menerangkan sesuatu kepada Rosmah Mansor sambil 
diperhatikan Dr. Mahathir Mohamad pada pelancaran kapal latihan Gagah 
Samudera milik TLDM di Kuala Langat, semalam.

KUALA LANGAT, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Satu lagi sejarah terukir apabila upacara penamaan dan pelancaran kapal latihan Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.

Upacara penamaan kapal yang baru siap dibina itu merupakan tradisi maritim yang diamalkan bukan sahaja oleh TLDM malah tentera laut di seluruh dunia sejak dahulu lagi.

Gagah Samudera yang dibina di Limbungan NGV Tech Sdn. Bhd di sini merupakan kapal binaan pertama anak tempatan dengan kerjasama syarikat dari Korea Selatan iaitu Daewoo Shipbuilding Marine Enginering (DSME).

Kejayaan pembinaan kapal ini juga sekali gus membuktikan syarikat tempatan juga berupaya menguasai kemahiran pembinaan kapal berteknologi tinggi serta mampu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk membangunkan industri maritim negara.

Turut hadir semasa majlis pelancaran tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Pengerusi Eksekutif NGV Tech, Datuk Zulkifli Shariff.

Ahmad Zahid dalam ucapannya semasa majlis pelancaran tersebut berkata, kapal latihan TLDM Gagah Samudera seberat 1,366 tan metrik dan 75.9 meter panjang itu turut dilengkapi tempat pendaratan helikopter.

‘‘Kapal ini juga bakal menempatkan 47 anak kapal dan mampu menampung seramai 60 pelatih pada setiap kali pelayaran dan mampu beroperasi sejauh 2,500 batu nautika tanpa henti atau selama 21 hari di laut sebelum ulang bekal dilaksanakan,’’ katanya.

Beliau berkata, kehadiran kapal latihan tersebut diyakini mampu memperkasakan latihan dan kemahiran serta kecekapan anggota dalam mengendalikan operasi armada TLDM.

‘‘Latihan di laut yang bakal ditempuhi juga membuktikan TLDM sentiasa melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap aset sedia ada serta mutu kerja anggota agar lebih berkesan seiring dengan visi menjadi tentera laut bertaraf dunia.

‘‘Kapal ini adalah satu daripada dua kapal yang dibina oleh NGV Tech. Sebuah kapal lagi dijangka siap dibina pada tahun depan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment