My Add

Tuesday 4 December 2012

Kedutaan Indonesia beri amaran pembantu rumah elak ke Malaysia

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Disember, 2012: Indonesia hari ini memberi amaran kepada warga negaranya agar tidak bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia selepas kejadian 105 wanita berjaya dibebaskan selepas dikurung kerana dipaksa bekerja tanpa gaji, minggu lalu.

Dalam satu serbuan pihak berkuasa berkata, mereka berjaya membebaskan 95 wanita warga Indonesia, Filipina (6) dan Kemboja (4) yang bekerja sebagai pembantu rumah harian yang dikunci dalam satu bangunan di pinggir ibu negara pada waktu malam oleh agensi pekerja asing.

Laporan mengenai penganiayaan amah Indonesia telah menyebabkan hubungan dua negara berjiran Malaysia-Indonesia terjejas sehingga pada 2009 Jakarta bertindak membekukan kemasukan pekerjanya ke Malaysia.

Bagaimanapun, kedua-dua negara mencapai keputusan untuk menarik semula larangan itu dengan syarat pembantu rumah mendapat perlindungan dan faedah pekerjaan yang lebih baik.

"Namun kes terbaru ini menunjukkan pekerja Indonesia masih terdedah kepada risiko, terutama mereka yang masuk ke Malaysia secara haram," kata jurucakap Kedutaan Besar Indonesia, di sini.

“Pihak berkuasa Malaysia sepatutnya mengambil langkah lebih ketat...Lebih baik pembantu rumah Indonesia tidak bekerja di Malaysia," kata jurucakap berkenaan, Suryana Sastradiredja kepada AFP.

“Mereka (Malaysia) meminta Indonesia membekalkan pembantu rumah tapi mereka tidak melindungi mereka dengan sewajarnya," katanya.
Sastradiredja berkata, sejak larangan itu ditarik balik, kurang 100 amah Indonesia datang ke Malaysia menerusi saluran rasmi tetapi bertukar menjadi mangsa menerima kadar upah rendah dan terdedah kepada penganiayaan. - AFP

No comments:

Post a Comment