My Add

Friday 14 December 2012

Kehakiman syariah diperkasa secara menyeluruh

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 Disember, 2012: Kerajaan sedang dalam usaha menaik taraf sistem kehakiman syariah bagi memperkasakannya secara menyeluruh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata usaha menaik taraf itu akan melibatkan pertambahan hierarki mahkamah syariah daripada tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah kepada lima peringkat.

Lima peringkat itu ialah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah.

"Cadangan ini juga melibatkan naik taraf perjawatan dan emolumen hakim-hakim mahkamah syariah supaya setaraf dengan mahkamah sivil dan sebagainya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Jamil Khir berkata langkah menaik taraf itu juga selaras dengan usaha meneliti semula had hukuman mahkamah syariah negara ini terutama Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dilihat masih rendah berbanding had hukuman di mahkamah sivil.

Bagaimanapun, katanya, sebarang usaha menaik taraf sistem kehakiman syariah hendaklah dipersetujui secara kolektif oleh semua Majlis Agama Islam negeri sebelum ia boleh dilaksanakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment