My Add

Friday 14 December 2012

Kekalkan adat, budaya etnik masing-masing

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 13 Disember, 2012: Masyarakat pelbagai kaum dan etnik diminta terus mengekalkan adat dan budaya masing-masing kerana ia merupakan ‘aset’ kepada negara.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbezaan dan kepelbagaian yang wujud merupakan kelebihan yang sebenarnya boleh mengeratkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Perbezaan dan kepelbagaian kaum serta etnik ini merupakan kelebihan kita. Misalnya, masyarakat Minang di Pasir Gudang ini mengekalkan adat dan budaya serta membolehkan etnik lain mengenali mereka dengan lebih dekat.

“Sebenarnya, dengan mengetahui dan menghormati perbezaan yang ada mampu membuatkan kita lebih memahami sesuatu kaum dan etnik. Ia juga seiring dengan gagasan 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya semasa merasmikan Himpunan Anak-Anak Minang Pasir Gudang di Kota Masai, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Penaja Persatuan Anak-anak Minang Pasir Gudang, Amrizal Bakar.

Majlis itu dihadiri 500 masyarakat Minang di kawasan berkenaan.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi meluluskan peruntukan RM20,000 kepada persatuan berkenaan untuk membiayai pelbagai aktiviti mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Pasir Gudang meluluskan permohonan masyarakat Minang di kawasan tersebut menubuhkan UMNO Cawangan Jalan Betik, Taman Kota Masai yang mempunyai 200 ahli.

Menurutnya, UMNO sentiasa menerima dan mengalu-alukan semua pihak yang ingin berjuang bersama-sama dalam parti keramat orang Melayu itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment