My Add

Thursday 20 December 2012

Kerajaan belum cadang perkenal nombor pendaftaran peribadi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Kerajaan belum bercadang memperkenalkan nombor pendaftaran peribadi pada kenderaan menggunakan nama individu atau syarikat, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata hanya lima negara di dunia menggunakan nombor pendaftaran seperti itu iaitu Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Brazil dan Hong Kong.

"Nombor pendaftaran kenderaan sekarang didaftarkan mengikut kawasan pendaftaran, contohnya A untuk Perak, S untuk Sabah dan sebagainya. Selain itu, kementerian meluluskan penggunaan nombor pendaftaran khas seperti Putrajaya, Perodua, Waja, Proton dan sebagainya.

"Buat masa ini, kerajaan belum bercadang memperkenalkan nombor pendaftaran peribadi menggunakan nama individu atau syarikat seperti SAAT, AHMAD, SHELL, MAXIS dan sebagainya," katanya menjawab soalan Senator Datuk Saat Abu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chong, berkata kes kesalahan akademik di institusi pengajian tinggi (IPT) seperti plagiarisme dan penipuan penyelidikan adalah sangat minimum dan masih terkawal.

Hou berkata, kebanyakan kes kesalahan akademik yang dilaporkan adalah salah faham tentang definisi plagiarisme dan penipuan oleh pengadu.

"Sehingga kini, hanya satu kes dilaporkan pada 2009 di sebuah universiti di Lembah Klang dan telah diambil tindakan. Sejak lima tahun kebelakangan ini, tiada aduan diterima kementerian," katanya menjawab soalan Senator Dr Ariffin Omar.

Hou berkata, pihaknya memandang serius sebarang kes plagiat yang berlaku di IPT sama ada membabitkan anggota akademik mahupun pelajar dan berharap semua pihak dapat menjaga nama baik universiti tempatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment