My Add

Saturday 15 December 2012

Kerajaan Pusat tak pernah janji dapatkan minyak di Bachok: Awang Adek

BACHOK, SABTU, 15 Disember, 2012: Kerajaan Pusat tidak pernah berjanji untuk mendaratkan minyak yang diperolehi di telaga di perairan antara sempadan Malaysia dan Thailand di Bachok, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata sebaliknya perjanjian untuk mendaratkan minyak di Bachok dibuat di bawah perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya perjanjian untuk mendaratkan minyak yang diperolehi di telaga perairan antara sempadan kedua-dua buah negara hanya dibuat oleh kerajaan pusat dan Thailand pada tahun 1990-an dan dipersetujui hasilnya didaratkan di Songkla, Thailand.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pendedahan isu semasa Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat (Penawar) Cawangan Kelantan di Perupuk di sini, hari ini.

Awang Adek mengulas kempen PAS yang menuntut kerajaan pusat menunaikan janji untuk mendaratkan minyak di Pantai Bachok di sini. Kempen itu termasuk memaparkan di papan-papan tanda yang berskala besar antaranya di persimpangan jalan dari Beris Kubur Besar-Perupuk/Bachok.

Bernama difahamkan perjanjian MoU itu dbuat antara kerajaan negeri dengan Koperasi Usaha Bersatu (KUB) bagaimanapun ia tidak dapat dilaksanakan berikutan kerajaan negeri gagal membayar pampasan pengambilan balik tanah kepada penduduk terbabit yang melibatkan peruntukan lebih RM100 juta.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata tuduhan terhadap kerajaan pusat itu hanya sebagai "modal politik PAS" sahaja yang mengharap kerajaan pusat melaksanakannya.
 
"Rakyat tidak seharusnya percaya dengan dakwaan itu, ia hanya mainan politik PAS untuk memburuk-buruk Umno." katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Penawar, Karimah Mohd Noor ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, pihaknya akan mengadakan gerakan penerangan mengenai isu-isu semasa ke 14 kawasan Parlimen di Kelantan.

Beliau berkata, pihaknya akan menampilkan beberapa penceramah undangan terkenal termasuk tokoh agama Zaleha Hussin yang akan menerangkan isu-isu yang berkaitan dengan agama dan tuduhan liar PAS terhadap Umno bagi mengelirukan rakyat Kelantan terutama kaum wanita. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment