My Add

Tuesday 4 December 2012

Kerajaan sentiasa utamakan sains dan teknologi

*NAJIB Tun Razak bersama Raja Dr. Nazrin Shah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (tiga kanan) bergambar dengan penerima Anugerah Merdeka 2012, (dari kiri) Dr. Augustine Ong Soon Hock, Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Dr. Engkik Soepadmo dalam majlis anugerah itu di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan ialah Pengerusi ExxonMobil Malaysia, J. Hunter Farris (dua kanan) dan Pengerusi Shell Malaysia, Iain Lo (kanan). - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan jaminan kerajaan akan sentiasa melaksanakan dasar serta melabur dalam bidang sains dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur teknologi maklumat.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan dari semasa ke semasa akan mengkaji impak sosial segala dasar yang dilaksana bagi memastikan sistem tersebut tidak meluaskan jurang perbezaan di antara pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, pembentukan sistem ekonomi berasaskan ilmu merupakan satu daripada inisiatif kerajaan supaya negara ini berupaya mencapai pembangunan mapan dan kekal berdaya saing di peringkat global.

“Kita (Malaysia) mempunyai banyak bakat, namun mempunyai bakat semata-mata tidak akan menyerlah jika tidak dibentuk secara baik.

“Jika kita fokus terhadap kekuatan iaitu rakyat, kepelbagaian dan bakat, maka kita akan bergerak seiringan serta dengan semangat 1Malaysia, dapat bersaing dengan baik," katanya ketika berucap dalam majlis Penyampaian Anugerah Merdeka 2012 di sini malam ini.

Yang hadir sama Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam pada itu, Raja Dr. Nazrin bertitah, para pemenang Geran Anugerah Merdeka untuk Lampiran Antarabangsa bagi mengenal pasti dan menghargai golongan muda berusia 22 hingga 35 tahun cemerlang dalam disiplin ilmu masing-masing akan diumum dalam masa terdekat.

“Semoga kita semua mengamalkan resmi padi bahawa kejayaan adalah daripada Allah dan penghargaan ini adalah untuk membangkitkan rasa takwa, sifat rendah diri dan keikhlasan," titah baginda.

Anugerah Merdeka 2012 yang disempurnakan malam ini menyaksikan tiga individu diumumkan sebagai pemenang iaitu tokoh cendekiawan negara, Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 81 menerima anugerah Pencapaian Ilmuwan Terunggul.

Selain itu tokoh saintis, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock, 78, (Kesihatan, Sains dan Teknologi) serta saintis dan ahli ekologi, Dr. Engkik Soepadmo, 76, (Sumbangan Cemerlang Kepada Rakyat Malaysia). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment