Kerap turun padang tutup ruang hasut peneroka
KUALA LUMPUR, RABU, 19 Disember, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengurusan Felda mempergiatkan pendekatan turun padang bagi menutup ruang pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri untuk menghasut para peneroka di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha turun padang secara langsung memberi peluang kepada pengurusan dan peneroka Felda berkongsi rintihan memperoleh maklum balas terhadap isu ditimbulkan.
Kata beliau, ini kerana sejak kebelakangan, banyak isu ditimbulkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan sendiri, bertujuan mengeliru dan memecah belahkan perpaduan antara warga Felda, masyarakat dan kerajaan.
"Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini juga mempunyai agenda politik sempit bertujuan menjatuhkan kredibiliti Felda dan kerajaan. Kita tahu siapa mereka dan banyak tohmahan serta tuduhan dilemparkan ke atas Felda walaupun pihak ini turut mengakui agensi ini telah sekian lama membantu menjayakan sosioekonomi negara.
"Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada semua warga Felda dan peneroka agar jangan mudah terpengaruh dengan hasutan dan tohmahan liar pihak tertentu yang berniat menimbulkan masalah dan perbalahan di antara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Semai Bakti Felda 2012 di sini malam ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; kakitangan pengurusan Felda serta para peneroka dari seluruh negara.
Sebagai rekod, Felda pada 10 dan 11 Disember lalu menghantar notis tuntutan saman kepada Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, akhbar milik Pas, Harakah dan akhbar milik PKR, Suara Keadilan berhubung dakwaan wujudnya urus niaga antara agensi itu dengan Israel.
Dalam pada itu, majlis tersebut menyaksikan 18 kakitangan Felda menerima Anugerah Semai Bakti dan empat orang terpilih sebagai Pengurus Terbaik sepanjang tahun ini kerana kecemerlangan mereka menyumbang ke atas pembangunan agensi tersebut.
Mereka menerima hadiah berupa saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) bernilai RM5,000 setiap seorang. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment