My Add

Monday 10 December 2012

Kerja pemulihan kawasan `hitam' berjaya kurangkan kemalangan

PORT DICKSON, ISNIN, 10 Disember, 2012:: Kementerian Kerja Raya melaksanakan program mengenal pasti dan menambah baik lokasi kerap berlaku kemalangan atau dikenali sebagai kawasan 'hitam' (blackspot) di seluruh negara, bagi mengurangkan kemalangan.

Menterinya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata kerja 'pemulihan' membabitkan jalan persekutuan dan lebuh raya yang bermula sejak 2009 itu terbukti berkesan, selepas kawasan 'hitam' yang dikenal pasti dipulih dan dinaik taraf.

"Hasilnya, daripada kerja pemulihan lokasi 'blackspot' ini ... pada 2009 bilangan 'blackspot' yang kita kenal pasti 10 dan sebelum kita lakukan kerja pemulihan, ada 55 kemalangan, tetapi selepas rawatan (dari 2009 hingga 30 November 2012) kemalangan yang berlaku hanya 16, bermakna pengurangan sebanyak 71 peratus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di lokasi 'hitam' di jalan persekutuan di sini, hari ini.

Shaziman berkata, kementeriannya mengenal pasti 66 lagi lokasi 'hitam' yang masih dalam perhatian dan akan diambil tindakan tahun depan.

Beliau berkata, pada tahun ini sebanyak 60 lokasi 'hitam' termasuk 10 di lebuh raya telah dikenal pasti untuk dipulihkan dengan kos sebanyak RM30.6 juta dan sehingga kini 59 lokasi itu, siap dibaik pulih.

"Walaupun pun kita sedia maklum kejadian kemalangan ini sama ada melibatkan nyawa atau pun tidak, realitinya berpunca bukanlah satu sebab tapi banyak sebab dan antaranya kecuaian pemandu, kenderaan dan mungkin kelemahan geometri jalan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kemalangan ini dan statistik kawasan 'hitam' itu katanya dikumpul oleh pihak polis agar kementerian dapat mencari mekanisme yang sesuai untuk menjalankan kerja pemulihan. 

"Daripada statistik itu, kementerian menyusun dari segi keutamaan jalan mana yang paling kerap berlaku kemalangan dan kebanyakan jalan ini kadang-kadang ada kelemahan geometri dan mungkin tidak cukup papan tanda dan boleh diperbaiki," katanya.

Beliau berkata, kos untuk memulihkan sesuatu jalan atau lebuh raya itu ialah sekitar RM500,000 dan ia adalah pelaburan yang paling menguntungkan dengan kerajaan berjaya mengurangkan banyak kemalangan jalan raya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment