My Add

Sunday 9 December 2012

Kesum jana pendapatan RM3,000 sebulan

KUALA TERENGGANU, AHAD, 09 Disember, 2012: Ramai orang tidak sedar bahawa pokok kesum yang tumbuh meliar di kawasan lembab dapat memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara komersial.

Perkara ini dibuktikan oleh seorang bekas pemandu bas sekolah, Mohamad Ngah, 57, dari Kampung Tok Harun, Manir yang mengusahakan tanaman itu sehingga mampu menjana pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Kesum banyak digunakan dalam masakan seperti laksa dan asam pedas.

Mohamad berkata, beliau mengusahakan tanaman itu sejak empat tahun lalu di kawasan seluas tiga suku hektar.

"Tahun pertama saya tanam, hasilnya saya boleh tunai haji, tahun kedua saya boleh beli kereta Proton Waja dan tahun ketiga boleh baiki rumah.

"Sementara tahun ini, saya jangka saya boleh RM40,000 sebab bulan Disember belum selesai lagi,” katanya kepada Bernama.

Katanya beliau membina 30 batas tanaman itu dengan setiap satunya sepanjang 30 meter supaya dapat menuainya mengikut giliran batas setiap hari bagi memastikan bekalannya tidak putus.

Atas usahanya itu, beliau mampu memperoleh hasil antara RM80 hingga RM100 sehari.

"Alhamdulillah, rezeki lumayan tetapi kita kena kerja kuatlah sikit, tetapi tidak mengapa kerana hasilnya berbaloi,” katanya.

Katanya selepas solat Isyak, beliau dan isterinya Fatimah Ngah, 55, akan memulakan kerja menyusun daun kesum yang akan dijual dengan RM1 seikat di Pasar Borong Wakaf Mempelam, keesokannya.

Mohamad menanam kesum berdaun panjang kerana permintaannya amat tinggi berbanding kesum berdaun kecil.

Beliau yang juga ketua unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang tengir, Manir berkata kejayaannya itu bertitik tolak daripada menanam sebatang pokok hingga ia berkembang seperti yang ada hari ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment