My Add

Thursday 13 December 2012

Ketua cawangan, bahagian jangan timbulkan masalah

 *TUN Abdullah Ahmad Badawi bersama sebahagian daripada murid dan pelajar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Sekolah oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS, RABU, 12 Disember, 2012: Ketua bahagian atau pemimpin yang tidak dipilih sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 diingatkan agar tidak menimbulkan sebarang masalah sehingga menafikan kemenangan dua pertiga yang diharapkan oleh Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, sokongan utama adalah daripada semua ketua cawangan dan ketua bahagian yang merupakan orang penting dalam parti untuk menjayakan matlamat memastikan kemenangan BN.

Menurutnya, calon yang akan dipilih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan yang terbaik dan semua ahli UMNO perlu bersatu menyokong agar calon berkenaan menang serta BN mampu mencipta kejayaan besar pada pilihan raya umum nanti.

"Sudah semestinya ketua cawangan dan ketua bahagian perlu menyokong calon yang dipilih kerana mereka merupakan orang yang paling dekat dengan rakyat dan apabila mereka memberi sokongan sudah pasti yang lain akan ikut.

"Kepada mereka yang tidak dipilih sebagai calon, terus bekerja demi bangsa dan agama kita," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga.

Pada majlis itu, seramai 25 murid dan pelajar dari kawasan Kepala Batas menerima bantuan pakaian dan kelengkapan persekolahan bernilai RM120 setiap seorang.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas menambah, beliau sendiri akan menyokong calon mewakili kawasan itu sekiranya tidak dipilih nanti kerana Perdana Menteri pastinya akan memilih calon yang boleh menang di Kepala Batas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment