My Add

Monday 17 December 2012

Ketua jabatan dan agensi harus bijak nilai prestasi perkhidmatan awam

KOTA KINABALU, ISNIN, 17 Disember, 2012: Ketua-ketua jabatan dan agensi harus bijak dalam menilai prestasi anggota perkhidmatan awam dengan memberi penilaian sewajarnya kepada yang berkhidmat dengan cemerlang.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Abdul Rahman Mohamad, berkata seorang ketua mesti memberi pengiktirafan dan penghargaan berdasarkan kerja yang dilaksana.

"Ketua jangan buat penilaian secara 'kelabu mata'. Mereka hendaklah membuat (penilaian) berdasarkan nilaian cemerlang yang sebenar supaya organisasi kita dipandang tinggi khususnya di Sabah ini," katanya ketika berucap pada penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 KPKK Peringkat Sabah di sini, malam tadi.

Abdul Rahman menyampaikan anugerah mewakili Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Menurut Abdul Rahman, mereka yang menerima anugerah itu wajar dicontohi dan dijadikan inspirasi oleh rakan lain terutama bagi yang tidak mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Dalam pada itu, beliau turut meminta warga kerja agensi dan jabatan KPKK menggunakan saluran komunikasi sewajarnya bagi meluahkan rasa tidak puas hati, selaras dengan peranan kementerian yang menjadi saluran maklumat dan dasar kerajaan.

Sebanyak 80 petugas dari empat jabatan dan agensi KPKK Sabah menerima anugerah kali ini meliputi 47 dari Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan (26 orang), Jabatan Hal Ehwal Khas (6) dan seorang dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Sabah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment