My Add

Sunday 9 December 2012

Ketua Pengarah Kesihatan baru dijangka diumum dalam masa terdekat

KOTA KINABALU, AHAD, 09 Disember, 2012:: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, Ketua Pengarah Kesihatan yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang diturunkan satu gred susulan kes khalwat bulan lalu dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Ali berkata, prosedur calon pengganti seseorang ketua pengarah baru itu dibuat mengikut proses biasa dalam sektor perkhidmatan awam.

"Kita tunggu sahajalah kerana ini adalah proses biasa dalam perkhidmatan awam termasuk pemilihan pengganti (ketua pengarah kesihatan). Kita akan umum apabila tiba masanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong-royong Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK )di Kampung Lindung, Karambunai dekat sini, hari ini.

Ali berkata demikian bagi mengulas kekosongan jawatan itu berikutan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam, Rabu lalu bahawa Dr Hasan yang diturunkan satu gred susulan kes itu kini bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan.

Mahmood berkata, mesyuarat SPA memutuskan Dr Hasan yang juga Pegawai Perubatan Gred Utama Turus II, Kementerian Kesihatan itu diturunkan pangkat ke satu gred yang lebih rendah daripada jawatan yang disandang sekarang dan ia dibuat mengikut Peraturan 33(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment