My Add

Tuesday 11 December 2012

Khaidir Buyong minta Harimau Malaya tidak tertekan bertemu Thailand

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 Disember, 2012: Skuad Harimau Malaya diminta tidak merasa tertekan apabila bertemu Thailand dalam perlawanan timbal-balik Piala AFF Suzuki menentang Thailand, Khamis ini.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Khaidir Buyong berkata, berdasarkan perlawanan separuh akhir pertama antara kedua-dua pasukan sebelum ini, skuad kebangsaan dilihat seolah-olah beraksi dalam keadaan tertekan dan hilang tumpuan berbanding Thailand yang lebih tenang.

"Pemain bola sepak sekarang berbeza dengan pemain dahulu. Dulu kalau mereka diberi tekanan ... 'masuk telinga kanan keluar telinga kiri'. Yang penting hanya beri tumpuan sepenuhnya ketika beraksi. Bermain bola dalam keadaan tenang dan seronok barulah boleh jaringkan gol," katanya ketika ditemubual menerusi program Dalam Radar, terbitan Bernama Radio24.

Bagaimanapun, beliau menafikan tekanan adalah berpunca daripada harapan penyokong atau kritik yang disebarkan melalui media dan meminta pemain tidak mengendahkan perkara yang boleh menganggu konsentrasi ketika perlawanan.

Khaidir turut merasa yakin skuad bimbingan Datuk K Rajagobal mempunyai peluang dan mampu mempamerkan aksi lebih baik pada perlawanan separuh akhir kedua nanti walaupun berdepan masalah kecederaan yang membelenggu lima tonggak utama.

Barisan 22 pemain negara berlepas ke Bangkok semalam untuk memastikan mereka mendapat rehat yang cukup sebelum pertemuan di Stadium Supachalasai.

Sementara itu, Khaidir yang juga bekas jurulatih Perak berkata, prestasi bola sepak negara kini diambang kebangkitan walaupun ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyenarai Malaysia merosot ke tangga 162 berbanding 156 sebelum ini. 

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan sentiasa berusaha melaksanakan program pembangunan bola sepak termasuk menubuhkan akademi bola sepak bertaraf dunia.

Walaupun menyedari kos penubuhannya adalah terlalu tinggi, beliau tetap mengharapkan akademi itu juga ditubuhkan secara berperingkat di setiap negeri dalam usaha melahirkan pelapis bola sepak profesional yang lebih ramai.

Pada masa sama, Setiausaha Kehormat Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) itu meminta semua bekas pemain kebangsaan tidak mensia-siakan pengalaman dan kebolehan yang mereka ada.

Beliau menggalakkan supaya mereka meneruskan profesion dengan membabitkan diri dalam bidang kejurulatihan dengan mengikuti kursus yang disediakan di dalam dan luar negara bagi mendapatkan lesen jurulatih. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment