My Add

Saturday 22 December 2012

Khaled ucap syabas kepada atlet Malaysia

 *SEBAHAGIAN daripada atlet negara melaungkan ‘Malaysia boleh’ sebaik
sahaja tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang,
semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Kejayaan muncul juara keseluruhan di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 menerbitkan rasa gembira Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang mengharumkan nama negara di Vientiane, Laos.

Menurutnya, kemenangan di AUG kali ini akan menjadi pendorong yang sangat baik kepada atlet untuk berjaya ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

"Syabas diucapkan kepada atlet Malaysia yang telah menunjukkan semangat tinggi serta berjuang untuk menempatkan nama negara selaku juara di AUG 2012.

"Kejayaan luar biasa ini membuktikan bahawa segala program pembangunan sukan yang telah dirancang dan dilaksanakan mula menampakkan impak positif.

"Melalui Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi, kita telah melaksanakan pelbagai program seperti pewujudan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) dan Pusat Sukan Tumpuan (PST), Penganjuran Kejohanan Utama Kementerian untuk sukan terpilih, penganjuran Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan penyelidikan sukan.

"Hubungan dan kolaborasi yang erat dengan pelbagai agensi-agensi sukan negara seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) juga sangat membantu kepada kejayaan ini," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Kontinjen negara yang diperkuatkan seramai 306 atlet telah memungut sebanyak 60 pingat emas atau 25 peratus daripada sejumlah 240 pingat yang ditawarkan serta meraih 48 perak dan 72 gangsa pada kejohanan yang berlangsung 11 hari dari 12 hingga 22 Disember.

Ini merupakan kejayaan terbesar Malaysia di luar negara sejak mula diperkenalkan di Chiangmai pada tahun 1981 dan kali terakhir bergelar juara pada empat tahun lalu semasa menjadi tuan rumah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment