My Add

Thursday 13 December 2012

Kita masih perlu laksana tindakan afirmatif - Dr. Mahathir


*DR. Mahathir Mohamad bersama Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana, Tan Sri Azman Hashim ketika merasmikan buku Perdana Discourse Series pada majlis wacana perdana di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, RABU, 12 Disember, 201: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia masih perlu melaksanakan tindakan afirmatif untuk membantu lebih ramai orang Melayu bersaing dalam pasaran dan akses kepada kekayaan.

Dr. Mahathir bagaimanapun berkata, tindakan afirmatif yang berperanan memastikan kestabilan dan mengurangkan jurang kekayaan itu hanya merupakan tongkat sementara untuk Melayu dan bumiputera lain.

''Kita mahu lebih ramai Melayu akses kepada kekayaan, untuk tujuan ini kita perlu kekalkan sesetengah elemen tindakan sedemikian tetapi bukan semuanya.

''Tindakan tersebut merupakan tongkat sementara, tetapi tongkat ini akan pergi apabila kita mempunyai jumlah orang Melayu yang cukup banyak untuk bersaing di pasaran," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam majlis wacana perdana yang mengupas isu relevan tindakan afirmatif Malaysia di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Terma tindakan afirmatif pertama kali digunakan di Amerika Syarikat pada 1961 dengan merujuk kepada dasar untuk mempertimbangkan faktor kaum, gender dan agama dalam kerjaya, pendidikan dan perniagaan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan berkenaan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, tindakan afirmatif di negara ini merupakan faktor yang menjamin kestabilan sekali gus membawa kemakmuran ekonomi kepada Malaysia.

''Semasa Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan secara sepenuhnya semasa 1987 hingga 1997, kita mencapai pertumbuhan tertinggi iaitu antara lapan hingga 10 peratus.

''Dakwaan bahawa DEB menafikan pertumbuhan adalah tidak berlandas fakta kerana negara kita tumbuh dengan sangat pantas malahan mengatasi sesetengah negara yang dilabelkan sebagai negara maju," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment