My Add

Monday 24 December 2012

KITA: Usah nafi 'dinasti keluarga DAP'

KUALA LUMPUR, AHAD, 23 Disember, 2012: Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim membidas sikap Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang kini berusaha sedaya upaya mempertahankan agenda 'pura-pura' DAP kononnya sebagai 'parti untuk pelbagai kaum'.

Beliau berkata, Kit Siang yang merupakan Penasihat DAP dan anaknya, Setiausaha Agung parti itu tidak perlu berdolak-dalik berhubung sentimen anti-Melayu dan sikap rasis yang sememangnya wujud dalam parti tersebut semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

"Slogan yang dilaungkan DAP iaitu Malaysian Malaysia adalah pembohongan besar kepada orang Melayu dan India.

"Rakyat perlu sedar amalan pelantikan jawatan tertinggi dalam DAP yang dibuat sejak berpuluh-puluh tahun itu merupakan cara Kit Siang mengekalkan cengkaman kuasa dalam parti sebagai hak keluarga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP pada 15 Disember lalu yang memperlihatkan parti itu menolak sepenuhnya pemimpin Melayu selain terus mengekalkan dinasti keluarga dalam kalangan pemimpin utamanya.

Dalam keputusan itu, Kit Siang memperoleh sokongan kuat dengan meraih undi tertinggi diikuti anaknya, Guan Eng manakala Pengerusi DAP, Karpal Singh serta anaknya, Gobind Singh Deo merupakan antara pemimpin yang memperoleh undi paling popular.

Menurut Zamil, DAP amat berbeza dengan UMNO kerana meskipun terdapat pemimpin UMNO sejak zaman dahulu mempunyai anak yang cenderung dalam bidang politik tetapi parti berkenaan tidak pernah mengamalkan konsep dinasti keluarga dalam kepimpinan.

Sebagai bukti katanya, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman tidak sesekali meletakkan anak tunggalnya, Datuk Seri Ahmad Nerang Putra dalam pentadbiran negara.

"Begitu juga semasa era Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, anaknya, Datuk Seri Najib Razak yang kini merupakan Perdana Menteri hanya mula aktif dalam bidang politik selepas ketiadaan ayahandanya.

"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menunjukkan teladan serupa yang mana anaknya, Datuk Mukhriz yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ahli Parlimen Jerlun benar-benar aktif sehingga menjadi calon pilihan raya hanya selepas Dr. Mahathir meletakkan jawatan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment