My Add

Saturday 15 December 2012

KKLW capai sasaran NKRA bangunkan kawasan luar bandar 

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 Disember, 2012:: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi tempoh tiga tahun dalam usaha membangunkan infrastruktur asas luar bandar di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sejak NKRA dilaksanakan pada 2010, kementeriannya mengenal pasti empat kategori utama yang perlu diberi perhatian iaitu Jalan Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Program Bantuan Rumah.

"Walaupun ada beberapa cabaran yang kita lalui untuk membangunkan kawasan luar bandar dalam bentuk fizikal, tetapi kita berupaya untuk menyediakan berbagai-bagai kemudahan di bawah NKRA seperti kemudahan elektrik dengan pelbagai kaedah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program 'Apa Khabar Orang Kampung' di Sri Pentas Utama TV3 dekat sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, berdasarkan statistik terkini NKRA dari 2010 hingga November tahun ini, kementeriannya berjaya menyambungkan bekalan air bersih dengan penggunaan teknologi baharu penapisan air kepada 238,597 buah rumah di seluruh negara.

"Kita juga sudah berjaya menyiapkan jalan sepanjang 3,128.39 kilometer di bawah Program Jalan Luar Bandar dan menerusi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar kita berjaya membekalkan elektrik 24 jam kepada 87,872 rumah.

"Kita ada sediakan kuasa solar iaitu menggunakan teknologi baharu di sesetengah tempat... kita juga berjaya membina dan membaik pulih 46,969 buah rumah di Sabah, Sarawak dan Semenanjung," katanya. 

Di samping itu beliau berkata, pembangunan modal insan masyarakat luar bandar turut tidak diketepikan yang mana pelbagai kursus dan kemahiran disediakan agensi di bawah kementeriannya untuk kemudahan golongan berkenaan.

"Kita juga sentiasa berusaha macam mana untuk memperkasakan modal insan penduduk luar bandar. Kita mempunyai RISDA, FELCRA, KESEDAR dan agensi-agensi seperti MARA yang juga berperanan untuk memberi kursus dan latihan.

"Ada KEMAS untuk kanak-kanak pra sekolah... ada biasiswa manakala bagi bidang pertanian kita ada Kolej RISDA di samping skim pinjaman perniagaan yang juga kita ada sediakan."

Program travelog 'Apa Khabar Orang Kampung' itu adalah kesinambungan usahasama KKLW dengan Media Prima dan TV3 selepas program 'Kampung Kita'.

'Apa Khabar Orang Kampung' yang mempunyai 13 episod itu akan mula disiarkan pada 21 Disember ini setiap Jumaat jam 6 petang selama 30 minit dan dihoskan penyampai berita TV3, Azwaliza Azman. - BERNAM

No comments:

Post a Comment