My Add

Friday 21 December 2012

Lagi rumah haram Israel dilulus

*DERETAN karavan boleh dilihat di Givat HaMatos, sebuah kawasan jajahan Israel
yang masih belum dibangunkan di timur Baitulmaqdis, kelmarin. - AFP

 

BAITULMAQDIS, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Israel semalam meneruskan rancangannya untuk membina 3,658 unit rumah haram baharu, kebanyakannya di kawasan yang dijajahnya di timur Baitulmaqdis, sekali gus mencetuskan kemarahan Palestin dan mengundang kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB).

Rancangan pertama melibatkan pembinaan 2,610 kediaman di Givat HaMatos, sebuah daerah yang masih belum dibangunkan di timur Baitulmaqdis, diikuti pengumuman tender 1,048 unit penempatan haram lain, kebanyakannya di kawasan yang dijajah Israel di Tebing Barat.

Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas dua hari Israel meluluskan pembinaan 1,500 lagi penempatan haram di Baitulmaqdis yang mencetuskan kecaman Amerika Syarikat (AS) kerana ‘membuat tindakan provokasi’.

Rancangan terbaharu Israel itu semalam, mengundang kecaman PBB dan semua anggota Majlis Keselamatan PBB kecuali AS, yang disifatkan mampu menjejaskan usaha rundingan damai.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, Israel mengambil ‘laluan bahaya’, manakala Kesatuan Eropah (EU) menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai ‘menghilangkan kepercayaan’ bahawa mereka mahu berunding dengan pemimpin Palestin.

Penolong Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Politik PBB, Jeffrey Feltman turut mengecam tindakan Israel membekukan pembayaran wang cukai dan kastam yang dikutipnya bagi pihak Palestin dan menyatakan wang itu perlu disalurkan dengan segera.

Perunding Palestin, Mohamed Shtayyeh turut memberi amaran, keputusan rejim Zionis itu boleh mendesak mereka meneruskan rancangan mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). - AFP 

No comments:

Post a Comment