My Add

Saturday 8 December 2012

Lelaki bunuh pemandu pejabat konsul Malaysia dipenjara maksimum

MELBOURNE,SABTU, 08 Disember, 2012: Gara-gara ingin menebus maruah keluarga, seorang lelaki terpaksa akur apabila dihukum penjara maksimum 23 tahun kerana didapati bersalah membunuh kekasih isterinya, dua tahun lalu.

Australian Associated Press (AAP) melaporkan Hakim David Davies menjatuhi hukuman itu terhadap Hazairin Iskandar, 58, kerana membunuh Mohd Shah Saemin yang berasal dari Melaka. Hazairin Iskandar diperintah menjalani hukuman penjara minimum 17 tahun.

Mohd Shah meninggal dunia akibat diserang Hazairin dan anak lelakinya, Andrew, di luar rumah pangsa Leichhardt, tempat tinggal Mohd Shah, di Sydney pada malam 21 Februari, 2010.

Hazairin yang berasal dari Indonesia, menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali dengan sebilah pisau, manakala anaknya pula memukul mangsa dengan tukul.

Mahkamah diberitahu bahawa Mohd Shah yang bertugas sebagai pemandu di pejabat konsul Malaysia di Sydney menjalin hubungan sulit dengan isteri Hazairin, Nita yang bekerja di tempat sama.

Dalam keterangannya, Hazairin memberitahu mahkamah bahawa perbuatan Mohd Shah itu mengaibkan keluarganya.

Hazairin berkata, dia membunuh Mohd Shah untuk memelihara maruah keluarganya.
Pada Mac tahun ini, Andrew dihukum penjara sekurang-kurangnya 18 tahun kerana pembunuhan itu manakala Nita dikenakan ikat jamin berkelakuan baik selama dua tahun kerana mempunyai kaitan dengan jenayah itu.

Nita yang hadir di mahkamah, menangis apabila hakim menjatuhi hukuman itu.

Ketika menjatuhi hukuman itu, Hakim Davies berkata, Hazairin menunjukkan rasa insaf atas tindakannya itu dan akan "mencapai usia lanjut" apabila layak mendapat parol kelak.

Katanya, ini adalah satu pembunuhan kejam dan simati sudah tentu berasa sangat terseksa sebelum menemui ajalnya.

Berdasarkan hukuman yang dijalaninya, Hazairin layak mendapat parol pada Februari 2027. Andrew pula layak mendapat parol pada Mei 2028. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment