My Add

Wednesday 5 December 2012

Lelaki cedera terkena tembakan ketika lari daripada polis

IPOH, RABU, 05 DIsember, 2012:: Seorang lelaki yang meloloskan diri daripada sekatan polis di Petaling Jaya, Selangor, 'kecundang' di tangan polis Perak menerusi sekatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Lebuhraya Utara-Selatan di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohamad Shukri Dahalan berkata, dalam kejadian 4.30 pagi itu, lelaki berusia 41 tahun berkenaan turut cedera di bahu kiri selepas terkena tembakan polis ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

"Polis mengesan kenderaan yang dinaiki suspek bersama seorang wanita berhampiran R&R Tapah dan memintanya berhenti untuk pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut kenderaannya," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis terpaksa mengejar kenderaan suspek sehingga ke susur keluar Tapah, dan anggota polis yang bimbang dengan keselamatan pengguna lain bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki suspek bagi menghentikannya.

Bagaimanapun, katanya, tembakan itu terkena bahu suspek. Teman wanitanya yang berusia 20 tahun tidak cedera dan suspek dihantar ke Hospital Tuanku Bainun untuk dirawat sebelum diserah kepada Polis Kontinjen Selangor.

Menurut Mohamad Shukri, pihaknya sebelum itu menerima laporan polis Selangor yang meminta bantuan untuk menahan lelaki tersebut yang mempunyai beberapa rekod jenayah di Selangor dan Pulau Pinang.

Sementara itu, dua lelaki terbunuh selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung sesama sendiri di Km 58 Jalan Ipoh-Taiping, dekat Kuala Kangsar malam tadi.
Mohamad Aidil Jamil, 20, dari Kampung Payang Panjang, Padang Rengas dan S. Shankar, 21, dari Taman Utama, Padang Rengas maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurut Mohamad Shukri, ia berlaku jam 9.40 malam ketika motosikal yang ditunggang Mohamad Aidil menghala ke Kuala Kangsar hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang Shankar.

Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar di talian 05-7762222 untuk membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment