My Add

Thursday 6 December 2012

Lembah Klang berdepan risiko

KUALA LUMPUR, RABU, 05 Disember, 201: Keengganan kerajaan negeri Selangor memberi kerjasama kepada kerajaan Pusat bukan sahaja mengakibatkan Lembah Klang berdepan masalah bekalan air malah risiko gangguan bekalan elektrik yang serius.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai (gambar) berkata, risiko itu wujud kerana projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tertangguh dengan baki kabel voltan tinggi sepanjang 1.5 kilometer di Kampung Sungai Terentang, Rawang sejak empat tahun lalu.

Jelas Siang Chai, beliau kecewa dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengambil sikap lepas tangan dalam isu berkenaan dengan tidak bertindak bagi menyelesaikan masalah penduduk di kawasan itu selain memberi kerjasama penuh kepada TNB.

"Beliau pernah berjanji untuk meninjau tapak projek dan laluan kabel itu, tetapi selepas setahun, beliau tidak berbuat demikian atau memberi penjelasan, ini sikap Menteri Besar yang kurang bertanggungjawab.

"Kalau kita tidak menjaga sistem elektrik dan membantu TNB, kita mungkin boleh berdepan keadaan seperti di India yang mana 600 juta penduduk tiada elektrik selama dua hari ini, ini adalah kerugian yang besar kepada negara," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini, Naib Presiden (Penghantaran) TNB, Datuk Rozimi Remeli berkata, penangguhan berterusan projek CAR yang bernilai RM300 juta itu akan mengakibatkan risiko gangguan bekalan elektrik yang serius di Selangor dan Lembah Klang kerana bebanan tenaga bagi kawasan tengah Semenanjung semakin meningkat.

Menurut beliau, TNB telah mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tindakan Negeri Selangor sebanyak 27 kali, namun sehingga kini isu tersebut masih belum dapat diselesaikan.

Projek CAR yang dimulakan pada 2005 melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 60 kilometer antara Bukit Tarek di Rawang dan Kampung Chubadak, Sentul namun tertangguh dengan baki jarak 1.5 kilometer di Kampung Sungai Terentang sejak empat tahun lalu ekoran bantahan penduduk di kawasan itu.

Menurut Siang Chai, pakatan pembangkang pernah berjanji menyelesaikan masalah penduduk di Kampung Sungai Terentang semasa kempen Pilihan Raya Umum 2008 namun janji itu tidak ditepati walaupun sudah lima tahun pembangkang menguasai kerajaan negeri.

"Pembangkang kata akan selesaikan selepas 100 hari menang, sekarang sudah berapa tahun? Saya mahukan Menteri Besar memberi jawapan, kalau dalam dua minggu masih tiada jawapan, ada pihak akan berdemonstrasi di depan Pejabat Menteri Besar," katanya yang juga Pengerusi MCA Selangor.

Menurut Siang Chai, beliau berharap penduduk di kawasan itu tidak lagi terpedaya dengan janji-janji pembangkang untuk menyelesaikan masalah tersebut sebaliknya memberi keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) mencari penyelesaian terbaik kepada semua pihak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment