My Add

Friday 21 December 2012

Lengah tadbir harta pusaka timbul masalah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Sikap segelintir rakyat Malaysia yang gemar melengah-lengahkan permohonan pentadbiran harta pusaka dikhuatiri akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, sikap itu boleh menyebabkan urusan mentadbir aset dan liabiliti individu yang telah meninggal dunia akan tertangguh.

Jelas beliau, berdasarkan kepada prinsip-prinsip umum dalam pentadbiran harta pusaka, waris-waris yang sah mengikut hukum syarak atau Akta Pembahagian Harta 1958 perlu mengemukakan permohonan pentadbiran harta pusaka.

‘‘Permohonan itu hendaklah dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi, Pejabat Pusaka Kecil dan Amanah Raya Berhad.

‘‘Bagi sebarang bentuk harta pusaka, sama ada berwasiat atau tidak berwasiat, pentadbiran harta si mati hanya dapat dimulakan apabila permohonan diserahkan kepada pihak terbabit," katanya ketika menjawab soalan Rohani Abdullah tentang langkah kerajaan bagi mengatasi masalah harta pusaka tidak diwasiatkan dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Dalam perkembangan sama, Vui Keong memberitahu, dakwaan pihak tertentu berhubung sejumlah RM45 bilion harta pusaka di negara ini tidak diwasiatkan adalah tidak betul.

Ujar beliau, pada masa ini, tiada statistik khusus berkaitan nilai sebenar harta pusaka dan tanggungan pusaka yang masih belum ditadbir. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment