My Add

Monday 24 December 2012

Lim Keng Yaik seorang `wira kebenaran'

PETALING JAYA, ISNIN, 24 Disember, 2012: Di sebalik personalitinya yang sentiasa ceria, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik adalah pemimpin yang tegas dan lantang dalam menyuarakan masalah rakyat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Menyifatkan mendiang sebagai 'Wira Kebenaran', beliau berkata mendiang Dr Lim sering membangkitkan tentang hal-ehwal rakyat dalam perbualan mereka.

"Saya hilang seorang kenalan yang baik. Setiap kali bertemu, beliau selalu berjenaka...memandangkan kami berdua sama-sama berasal dari Perak, kami rapat," katanya selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Dr Lim di Damansara dekat sini, hari ini.

Beliau juga menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang cemerlang dalam setiap tugasannya semasa menjadi menteri dan Presiden Parti Gerakan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil juga berkongsi pendapat dengan Ahmad Zahid dan berkata beliau bertuah dapat berkhidmat bersama-sama mendiang dalam Kabinet.

"Beliau adalah senior saya...banyak saya belajar daripadanya. Beliau pemimpin dan insan yang bijaksana.

"Saya juga kagum dengan keberanian beliau dalam menegakkan kebenaran," katanya.
Shahrizat berkata Pergerakan Wanita UMNO juga sangat menghargai jasa dan kepimpinan mendiang Dr Lim dalam membantu menjadikan negara kekal stabil.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, hairy Jamaluddin berkata mendiang Dr Lim adalah ahli politik yang dinamik.

"Beliau banyak membantu negara terutamanya legasi beliau dalam industri kelapa sawit negara.

"Beliau juga seorang yang sentiasa berterus terang dan sentiasa letak keutamaan negara atas segalanya," katanya.

Turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang hari ini ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chong Ko Ha, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin serta Tokoh Wartawan, Datuk A Kadir Jasin.

Dr Lim, 73, yang menjadi menteri Kabinet selama 22 tahun, meninggal dunia di sisi keluarganya pada jam 5.13 petang Sabtu lalu.

Beliau yang pernah memegang jawatan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi dari 2004 hingga 2008, meninggalkan isteri Toh Puan Wong Yoon Chuan dan tiga anak.

Mayatnya akan dibakar di Krematorium Cheras pada Rabu ini selepas diberi penghormatan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment