My Add

Tuesday 4 December 2012

Liong Sik kemuka satu lagi representasi

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Disember, 2012: Peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Tun Dr. Ling Liong Sik dalam perbicaraan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), mengemukakan satu lagi representasi memohon pendakwaan menimbang semula tiga pertuduhan terhadap bekas menteri pengangkutan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa representasi yang dikemukakan pada 21 Nov itu berkaitan kewangan dan kos pembelian tanah.

Beliau berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti permohonan itu bagi mendapatkan pandangan pakar dan akauntan.

Pada 9 Oktober lalu, Dr Ling telah mengemukakan representasi berkaitan pertuduhan terhadapnya selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keterangan.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan 21 Januari untuk menyambung perbicaraan dan pihak pendakwaan perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan representasi sebelum perbicaraan bermula.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp (sekaki persegi) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Dr Ling dipanggil membela diri pada 9 Mac lalu dan seramai empat saksi telah memberi keterangan termasuk dirinya sendiri dan Dr Mahathir. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment