My Add

Wednesday 5 December 2012

Mahkamah Tinggi Alor Setar benarkan tuntutan pensyarah naik pangkat

ALOR SETAR, R: Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini membenarkan tuntutan kenaikan pangkat seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai pensyarah kanan yang dihalang universiti itu empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab juga memerintahkan UUM membayar faedah gaji tertunggak kepada plaintif, Dr Abdul Halim Mohamed, 46, pada kadar empat peratus setahun mulai Jun 2008.

Mahkamah turut membenarkan faedah lapan peratus setahun mulai tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh dan memerintahkan kos ditanggung oleh defendan pertama bekas Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi dan UUM sebagai defendan kedua.

Abdul Halim pada 11 April 2010 memfail saman menuntut kedua-dua defendan membuat deklarasi bahawa beliau telah memegang jawatan pensyarah kanan sejak Jun 2008 dan berhak jawatan profesor madya.

Plaintif turut menuntut defendan kedua membayar tunggakan gaji, ganti rugi teladan sebanyak RM500,000, pembayaran balik kos pengajian RM200,000 dan ganti rugi akibat tekanan (stres).

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, selepas menimbang keterangan kedua-dua pihak, beliau mendapati plaintif berjaya membuktikan tuntutannya berasaskan surat yang diterima dan sepatutnya diberikan kenaikan pangkat jawatan pensyarah kanan kerana telah memenuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya, permohonan deklarasi perkara itu dibenarkan dan plaintif berhak mendapatkan segala faedah dan kemudahan bagi jawatan pensyarah kanan.
Mohd Zaki bersetuju plaintif tidak diberikan kenaikan pangkat secara automatik sebagai profesor madya walaupun selepas tiga tahun memegang jawatan pensyarah kanan kerana ada prosedur lain yang perlu dipenuhi.

"Permohonan plaintif untuk deklarasi bahawa dia berhak dinaikkan pangkat ke profesor madya dan tuntutan tunggakan gaji bagi jawatan tersebut ditolak," tambahnya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan yang dikemukakan, plaintif gagal membuktikan tuntutan-tuntutannya untuk mendapatkan ganti rugi teladan, bayaran balik yuran pengajian serta ganti rugi stres dan terpaksa ditolak.

Kos tuntutan itu akan ditaksirkan oleh Timbalan Pendaftar atau Penolong Kanan Pendaftar dan hendaklah dibayar oleh kedua-dua defendan, kata Mohd Zaki.

Plaintif yang diwakili peguam, Rahmah Mohamad dan Aqbal Saifuddin, ketika ditemui pemberita kemudian berkata tuntutannya untuk dikenaikkan pangkat sebagai profesor madya adalah tuntutan tambahan.

Nordin yang diwakili peguam, Datuk Hashim Jahaya bagaimanapun tidak menghadiri prosiding kes itu.

Dr Abdul Halim berkata, kenaikan pangkat sebagai profesor madya boleh dipohon semula selepas tiga tahun beliau menyandang jawatan pensyarah kanan yang mana kelulusannya ditentukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan UUM.

Pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden UUM itu bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan menegaskan dia berhak mendapat balik haknya yang disekat UUM dan menanggap kemenangannya adalah untuk semua orang yang teraniaya.

Katanya, beliau memohon dinaikkan pangkat ke jawatan pensyarah kanan (DS52) kepada Majlis Eksekutif Universiti (MEU) pada 2007 dan diakui serta dipersetujui oleh MEU namun kenaikan itu tertakluk kepada Lulus Dalam Kriteria Kecemerlangan Akademik dan Lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) menerusi sepucuk surat pada 22 Februari 2007.

Namun permohonannya tidak berjaya berdasarkan mesyuarat MEU pada 30 November 2008 dan beliau dimaklumkan mengenai perkara itu melalui surat pada 8 Januari 2009.

Surat itu tidak menjelaskan sebab permohonan Dr Abdul Halim ditolak oleh MEU walaupun beliau telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk dinaikkan pangkat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment