My Add

Friday 14 December 2012

Makmal analisis halal Jakim pertama dibina

NILAI, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Makmal analisis halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sedang dibina di sini akan mengukuhkan peranan Jakim dalam pensijilan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata makmal itu kelak akan menjadi pusat hentian setempat kepada industri penyelidikan dan pensijilan halal dunia, memandangkan segala keperluan dan rujukan pensijilan halal akan tertumpu di makmal itu.

Ia akan memberi faedah yang amat besar kepada ekonomi negara menerusi pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di seluruh dunia dan secara tidak langsung mengangkat imej Malaysia sebagai peneraju utama pensijilan halal, katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah makmal itu di Bandar Enstek di sini.

"Maklumat dan analisis daripada makmal khusus dalam bidang halal ini akan diyakini dan tidak dipertikai oleh mana-mana pihak. Ini akan membantu Malaysia melahirkan pakar rujuk pensijilan halal dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju hab halal dunia," katanya.

Jamil Khir berkata buat masa ini tempoh masa memproses sijil halal Malaysia adalah 30 hari, tapi dengan adanya makmal ini, tempoh sedia ada dijangkakan akan dapat dikurangkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment