My Add

Friday 21 December 2012

Malaysia berminat ambil guru Bahasa Inggeris dari India

NEW DELHI, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Malaysia berminat untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran itu di tanah air, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Salah satu cadangan yang saya bawa untuk pertimbangan kepada Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh pada pagi tadi ialah untuk kita menerima sejumlah guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar pelajar kita di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, Manmohan menyambut baik cadangan itu dan akan mengarahkan menteri yang berkenaan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran untuk merealisasikan hasrat itu.

"Ia sebagai menokok tambah usaha yang kita jalankan dengan pihak Amerika Syarikat yang sudah menghantar sebanyak 75 guru dari sana untuk mengajar Bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita Malaysia selepas mesyuarat dua hala selama 30 minit dengan Manmohan di sini, hari ini.

Ditanya bila penyumberan guru itu akan bermula, Najib berkata :"Kami akan bincangkannya kemudian. Perlu ada perjanjian terlebih dahulu. Kemudian saya perlu rujuk kepada Kementerian Pelajaran dan ia bergantung kepada terma dan syarat, kami akan rumuskannya dan beritahu jumlahnya kemudian."

Turut hadir pada mesyuarat dua hala itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Tan Seng Sung
.
Malaysia mahu kerjasama dengan India bersifat pelbagai dan komprehensif, kata Najib yang berada di New Delhi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India selama dua hari bermula Khamis.

"Memandangkan bahawa mereka menghantar begitu ramai pelajar mereka ke luar negara, ada kemungkinan mereka boleh melihat pada Malaysia sebagai alternatif untuk menghantar pelajar mereka.

"Malaysia juga perlu adakan lebih banyak promosi "Pameran Pendidikan" dan sebagainya kerana mereka kurang pengetahuan mengenai kemampuan kita menyediakan pendidikan berkualiti dengan kos yang begitu kompetitif", kata Najib.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment