My Add

Thursday 6 December 2012

Malaysia di landasan betul

KUALA LUMPUR, RABU, 05 Disember, 2012: Malaysia berada di landasan yang betul dalam membangunkan teknologi bersih sebagai sebahagian daripada komitmen globalnya ke arah melindungi alam sekitar, selain mengambil langkah untuk memastikan usaha seperti itu menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi komitmen pengurangan karbon negara - pengurangan 40 peratus dalam kadar pelepasan menjelang 2020, daripada paras 2005.

"Kami menyasarkan untuk mencapai matlamat ini menerusi pelbagai langkah, yang kesemuanya meningkatkan pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan dan industri baru serta melonjakkan kemakmuran," katanya menerusi blog 1Malaysia beliau.

Najib berkata, Malaysia adalah pengeluar utama produk tenaga bersih seperti panel solar dan lampu LED yang efisien dan turut memperkenalkan tarif galakan untuk melonjakkan pengambilan domestik tenaga boleh diperbaharui dan memperluaskan gabungan tenaga itu.

"Kami berusaha untuk berkembang dan mempelbagaikan sektor ini agar kami dapat menerajui ekonomi rendah karbon masa depan," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia turut melabur berbilion dolar dalam infrastruktur tenaga bersih, misalnya di Iskandar Malaysia.

"Perancangan turut dibuat untuk membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Asia Tenggara yang di peringkat awal menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura, namun akhirnya akan sampai ke China," katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan muncul kelak sebagai pengeksport utama elemen nadir bumi iaitu bahan utama produk teknologi bersih seperti kereta hibrid dan turbin angin dengan sebuah kilang baru yang menghasilkan kira-kira 20 peratus bekalan global.

"Kilang tunggal ini akan menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia - menegaskan rasional ekonomi dalam menerajui ekonomi bersih," katanya.

Mengenai keperluan bagi negara Asia menangani perubahan iklim, beliau berkata, masanya sudah tiba bagi Asia menjadi sebahagian daripada penyelesaian memandangkan Asia diunjurkan untuk menghasilkan 40 peratus daripada tenaga berkaitan gas rumah hijau dunia menjelang akhir dekad ini.

Kata beliau, sungguhpun negara barat telah membawa dunia kepada jurang iklim, namun Asia tidak harus hilang pertimbangan.

"Seiring kebangkitan Asia, begitu jugalah dengan komitmennya terhadap iklim. Pada persidangan PBB mengenai iklim yang sedang berlangsung di Doha, pemimpin Asia perlu berhujah mengenai tindakan yang tegas dan berkesan terhadap perubahan iklim.

"Dan kita mesti bersedia untuk melaksanakan peranan dalam mengurangkan pelepasan. Pembangunan masa depan menuntut perkara ini," katanya.

Najib berkata, akibat daripada ketiadaan tindakan akan meningkatkan risiko terhadap rakyat, bandar raya dan ekonomi negara ini dan "tidak berbuat apa-apa bukan lagi satu pilihan." - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment