My Add

Thursday 20 December 2012

Malaysia, India naikkan sasaran dagang dua hala kepada AS$20 bilion

NEW DELHI, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Malaysia dan India sudah menyemak semula sasaran perdagangan dua hala kepada AS$20 bilion daripada AS$15 bilion sebelum ini menjelang 2015 di tengah-tengah pergerakan barangan yang kukuh antara kedua-dua negara.

"Kedudukan perdagangan dua hala antara Malaysia dan India mencapai tahap perkembangan yang begitu memberangsangkan," katanya.

Tahun lalu, jumlah dagangan meningkat 32.7 peratus berbanding 2010, bagi mencecah AS$12.54 bilion. Eksport Malaysia meningkat 34.6 peratus daripada AS$6.5 bilion pada 2010 kepada AS$9.2 bilion.

Pada 2012, setakat ini, katanya, kerajaan melihat perkembangannya meningkat 5.6 peratus.

"Meskipun berkurangan sedikit, ini adalah merupakan pencapaian yang boleh dikatakan baik memandangkan suasana ekonomi dunia yang masih lemah dan tidak menentu," katanya kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh di sini, hari ini.

Perdana Menteri berada di New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari yang bermula hari ini.

Dari Januari hingga Oktober 2012, eksport Malaysia ke India berjumlah AS$7.7 bilion manakala import dicatatkan AS$3.3 bilion. 

"Memandangkan bahawa keadaan perdagangan dua hala ini begitu positif maka pada asalnya kedua-dua Menteri yang bertanggung jawab atas perdagangan antarabangsa, pada pihak kita Datuk Seri Mustapa Mohamed dan rakan sejawatnya menentukan sasaran AS$15 bilion menjelang 2015."

"Tetapi, mengambil kira perkembangan yang begitu memberangsangkan, kedua-dua Perdana Menteri telah menetapkan sasaran baru sebanyak AS$20 bilion untuk dicapai menjelang 2015," katanya selepas pertemuan 30 minit bersama Manmohan.

Hadir sama ketika pertemuan dua hala itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Dua Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan mengenai Infrastruktur, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Tan Seng Sung.

India adalah salah satu rakan perdagangan penting Malaysia.

Sejak 1998, India menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan.

Eksport utama Malaysia ke India pada 2011 ialah produk elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, pembuatan logam dan minyak sawit manakala import utama Malaysia dari India ialah kimia dan produk kimia serta daging.

Pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India pada 1 Julai, 2011, meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment