My Add

Wednesday 19 December 2012

Malaysia-Indonesia sepakat

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan SHARAIMEI SHEIKH AHMEDULLAH

*NAJIB Tun Razak mendengar Susilo Bambang Yudhoyono berkata sesuatu semasa melihat buah-buahan tempatan sebelum majlis Jamuan Makan Malam di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. - BERNAMA

PUTRAJAYA, SELASA, 18 Disember, 2012: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyemak semula yuran agensi yang menguruskan pengambilan pembantu rumah dari negara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut bagi membolehkan yuran agensi tersebut diletakkan pada kadar lebih munasabah.

Katanya, semakan semula kadar yuran tersebut juga akan menyaksikan perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.

''Perjanjian Lombok yang ditandatangani telah dipatuhi tetapi ada sedikit kesulitan dari segi yuran agensi yang agak tinggi," katanya dalam sidang akhbar selepas Rundingan Tahunan Kali Ke-9 Antara Malaysia dan Indonesia di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam rundingan itu, Najib mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono diikuti dengan mesyuarat bersama kedua-dua delegasi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyasarkan perdagangan dua hala mencecah AS$30 bilion menjelang 2015.

Katanya, walaupun sasaran ini agak tinggi tetapi mencerminkan kesungguhan kedua-dua pemerintah untuk mencapai dan menggerakkan kerjasama ekonomi.

Menurutnya, trend perdagangan dua hala pada tahun ini memperlihatkan peningkatan AS$1 bilion dalam tempoh 10 bulan pertama kepada AS$15.9 bilion berbanding AS$14.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Selain Malaysia muncul sebagai pelabur keenam terbesar di republik itu, kata Najib, jumlah pelabur dari Indonesia juga semakin meningkat dengan ketara terutama dalam bidang perhotelan.

Selain itu, Perdana Menteri juga mahu meningkatkan pelaburan dalam bidang strategik seperti perbankan dan kewangan di Indonesia.

''Pencapaian ekonomi Indonesia begitu positif terutama dari segi domestik, ekonomi yang sangat besar begitu juga peluang untuk syarikat Malaysia di Indonesia, justeru dalam masa sama kita akan buka peluang kepada pelabur Indonesia di Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai persempadanan maritim, katanya, Malaysia dan Indonesia mahu usaha digerakkan lebih intensif termasuk mengenal pasti formula penyelesaian yang difikirkan sesuai dan boleh diterima rakyat kedua-dua negara.

''Ini penting dan apa-apa persetujuan kalau tidak berlandaskan persetujuan rakyat tidak boleh dilangsungkan," katanya.

Selain itu, kedua-dua negara melihat kerjasama yang cukup baik dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pelancongan untuk dikembangkan secara komprehensif.

Sementara itu, Susilo dalam kenyataan balasnya berterima kasih kepada Malaysia yang menunjukkan komitmen tinggi dalam meningkatkan hubungan dua hala.

Katanya, Indonesia bersetuju untuk menyediakan ruang dan peluang yang lebih luas kepada Malaysia untuk melabur ke Indonesia dalam jangka masa panjang.

"Saya yakin dengan kesepakatan daripada kerjasama ini akan terus tumbuh dengan kukuh dan dalam masa sama memperkuat hubungan ekonomi tanpa melupakan hubungan rakyat dengan rakyat yang perlu ditingkatkan," katanya.

Selain itu, katanya, kedua-dua pihak turut membincangkan keperluan penambahbaikan untuk tenaga kerja dari Indonesia ke Malaysia di masa hadapan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak tenaga kerja Indonesia terutama di Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan pelajaran yang sempurna.

"Ini salah satu komitmen kita untuk menguruskan tenaga dengan baik," katanya.

Dalam pada itu menyentuh perjanjian Lombok, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk berunding mencari penyelesaian yang berkesan dalam isu tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment