My Add

Tuesday 11 December 2012


Malaysia jadi hab ortopedik serantau
 *MALAYSIA yang sememangnya terkenal kerana mempunyai ramai pakar 
ortopedik, juga bakal menjadi pusat pembekalan produk berkaitan di rantau 
ini. - GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA, ISNIN, 10 Disember, 2012: Perjanjian usaha sama yang ditandatangani antara dua syarikat Malaysia dan kumpulan perubatan dari China dalam bidang pengeluaran produk ortopedik dijangka meletakkan Malaysia sebagai hab ortopedik di rantau ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Beliau berkata, usaha sama antara The Naton Medical Group of China (Naton), OSA Niaga Sdn. Bhd. (OSA) dan Straits Orthopaedics (Mfg) Sdn. Bhd. of Malaysia mengeluarkan peranti ortopedik, yang meliputi produk trauma, tulang belakang dan artroplast yang akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati diskaun 30 hingga 50 peratus ke atas produk terbabit pada masa depan.

"Saya dimaklumkan bahawa industri itu sudah bersedia dan mahu meningkat ke tahap seterusnya, dengan syarikat merancang meningkatkan operasi, memperoleh produk baharu daripada pelanggan global, melibatkan diri dalam banyak projek teknikal dan penyelidikan dan pembangunan bernilai tinggi, selain menjadikan jenama dan produk Malaysia lebih menonjol dalam pasaran eksport ASEAN.

"Oleh itu, jika Malaysia berjaya menjadi pusat ortopedik timur, ia akan menyediakan ruang yang lebih besar untuk usahawan dan syarikat meneroka disiplin klinikal yang lain seperti peranti pembedahan kardiovaskular," katanya semasa menyaksikan majlis pemeteraian antara Naton, OSA dan Straits Orthopaedics di sini hari ini.

Tiong Laiberkata, bidang ortopedik menawarkan potensi industri yang besar untuk negara dengan peserta pasaran sudah pun memperoleh manfaat daripada kelebihan perbandingan Malaysia yang cekap serta pembangunan kepakaran dalam semua aspek, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan produk, pengkomersialan dan pengedaran.

"Menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), kami mengenal pasti peranti perubatan sebagai antara sektor penting yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kami mengenal pasti kira-kira RM11.4 bilion pendapatan negara kasar (GNI) menerusi peranti perubatan dan pewujudan 86,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.

"Bagi ortopedik, kita mampu mencatat RM4.5 bilion perolehan. Ia merupakan industri yang besar yang perlu diberikan tumpuan memandangkan kita mempunyai kekuatan dan keupayaan.

"Dengan Naton datang untuk melabur dan meluaskan pasaran, kita mampu menjadi hab serantau menerusi usaha sama itu," kata Tiong Liow.

Sima Medical Sdn. Bhd. akan ditubuhkan dan dijangka memulakan pengeluaran menjelang suku pertama tahun depan.

Dalam tempoh lima tahun, syarikat usaha sama itu dijangka menjual produk bernilai AS$100 juta untuk pasaran ASEAN dan Asia Barat, manakala pelaburan yang diperlukan untuk merealisasikan matlamat itu dianggarkan sebanyak RM200 juta.

Beliau berkata, Naton akan mengeluarkan produk yang meliputi implan dan instrumen dalam trauma, tulang belakang dan artroplasti dan pergigian di Malaysia dan produk itu akan dilabelkan sebagai Buatan Malaysia.

Menurutnya, produk itu akan didaftarkan dengan badan kawal aturan dan diedarkan pada kos mampu milik di Malaysia, ASEAN dan Asia Barat.

"Menerusi usaha sama itu, Naton dan OSA akan memajukan produk ortopedik dan pergigian baharu. Selain itu, produk baharu untuk ujian praklinikal dan klinikal akan dilakukan di Malaysia."

Sementara itu, Tiong Lai berkata, Straits Orthopaedics, yang mempunyai reputasi sebagai pengeluar berkualiti bertaraf dunia, akan menyediakan penyelesaian pengilangan untuk syarikat usahasama itu, termasuk keupayaan pemindahan - Titanium jenis 2 penganodan trauma dan implan tulang belakang, tuangan hinggalah kepada gred perubatan serta artroplasti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment