My Add

Thursday 20 December 2012

Malaysia juara AUG 2012

Oleh Aizawati Ahmad

 *SKUAD renang merupakan penyumbang terbesar pingat emas pada AUG Ke-16
di Vieniane. - BERNAMA
VIENTIANE, RABU, 19 Disember, 2012 - Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 setelah meraih sebanyak 11 pingat emas, semalam menjadikan keseluruhan 60 pingat emas untuk berada di puncak.

Pencabar terdekat Malaysia, Vietnam menggondol 56 emas untuk berada di tempat kedua manakala Indonesia menghuni tangga ketiga dengan pungutan 41 emas.

Dengan hanya satu acara akhir menjelang upacara penutupan temasya, hari ini iaitu sukan petanque, Malaysia sebenarnya sudah boleh disahkan sebagai juara memandangkan Vietnam tidak terbabit untuk pertarungan tersebut.

Terima kasih kepada skuad renang negara yang menjadi penyumbang terbesar pungutan pingat emas

Malaysia, semalam mengaut 21 emas, sembilan perak dan tujuh gangsa sepanjang empat hari pertandingan dilangsungkan.

Dengan lima emas berjaya diraih, semalam Chui Lai Kwan antara perenang yang menjadi penyumbang emas buat negara dalam acara 50 meter gaya bebas setelah mencatat masa 26.80 saat menewaskan wakil Indonesia, Enny Susilawaty Margono yang sekadar berpuas hati dengan pingat perak, manakala rakan senegara, Leung Chii Lin meraih gangsa.

Satu lagi emas dijelmakan menerusi perenang, Hii Siew Siew yang mencatat masa terpantas 1 minit 03.71s untuk memenangi acara 100 meter kuak kupu-kupu. Pingat perak menjadi milik Ressa Kania Dewi dari Indonesia, sementara perenang Filipina, Anna Celina Gonzalez merangkul gangsa.

Emas ketiga negara menerusi acara 400 meter rampaian berganti-ganti yang dibarisi Chui Lai Kwan, Siow Yi Ting, Hii Siew Siew dan Khoo Cai Lin setelah melakar masa terbaik 4:24.12s menewaskan Indonesia di kedudukan kedua dan Thailand di tangga ketiga.

Atlet kelahiran Sarawak, Daniel Bego menggondol emas keempat dengan masa 1:52.27s yang merupakan rekod baru temasya untuk acara 200 meter gaya bebas mengetepikan cabaran rakan senegara, Kevin Yeap yang memenangi perak, manakala gangsa menjadi milik perenang Indonesia, Triady Fauzi Sidiq.

Emas terakhir Malaysia di kolam renang hadir menerusi Cai Lin yang juga merupakan emas ketujuhnya setelah mencatat rekod baru temasya 2:05.76s menerusi 200 meter gaya bebas. Dua perenang Indonesia iaitu Ressa Kania dan Patricia Yosita Hapsari masing-masing meraih perak serta gangsa.

Cai Lin ketika ditemui pemberita berkata, dia amat berpuas hati dengan prestasinya sepanjang temasya setelah berjaya merangkul tujuh emas dan satu perak.

“Jika Malaysia muncul juara keseluruhan, saya adalah orang yang paling gembira kerana renang menjadi penyumbang terbesar pingat buat kontinjen negara," katanya.

Selain Kevin Yeap, Malaysia turut meraih dua lagi pingat perak menerusi Yap See Tuan yang beraksi dalam acara 200 meter kuak dada dan James Chen melalui 50 meter gaya bebas.

Skuad renang negara turut meraih satu gangsa, semalam menerusi 400 meter rampaian berganti-ganti yang diwakili Andrew Loh, Yap See Tuan, Clement David Leong dan Daniel Bego.

Sementara itu, penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Syed Mohamad Agil Syed Naguib meraih emas tunggal di gelanggang tenis apabila dia menyingkirkan lawan dari Indonesia, Aditya Harry Sasongho 6-3, 6-0.

Semalam, Malaysia turut menggondol dua emas menerusi acara seni pertahankan diri yang mana atlet judo, Noor Asnida Abd. Razak telah dinobatkan juara untuk kategori 70-78 kilogram (kg), manakala pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed menang dalam kategori tanding kelas E wanita 60-65kg. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment