My Add

Sunday 16 December 2012

Malaysia rujukan terbaik Kazakhstan dalam aspek kemajuan ekonomi

Siti Mariam Md. Zain

ASTANA, SABTU,  15 Disember, 2012: Kazakhstan mahu Malaysia terus menjadi rujukan terbaik negara itu dalam aspek kemajuan ekonominya walaupun sepanjang 21 tahun merdeka, banyak kejayaan telah dicapai.

Menteri Luarnya, Erlan Idrissov berkata, hubungan antara kedua-dua negara sebenarnya telah wujud sejak pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum diteruskan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

‘‘Malaysia adalah antara negara yang terus menjadi contoh serta rujukan terbaik kami terutama daripada aspek pembangunan ekonomi sepanjang 21 tahun kemerdekaan Kazakhstan iaitu pada 1991," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-21 negara itu esok.

Sambil menyifatkan Malaysia sebagai rakan rapat, beliau berkata, pihaknya mengagumi pendekatan yang diambil dalam mencorakkan pencapaian ekonomi dan aspek politik yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

‘‘Banyak perkara yang masih perlu dipelajari oleh kami. Ini adalah langkah-langkah yang dilihat amat perlu untuk muncul sebagai kuasa ekonomi terulung di Asia Tengah menjelang 2030 seperti yang disasarkan Presiden kami, Nursultan Nazarbayev," katanya.

Beliau berkata, walaupun hubungan perdagangan di antara kedua-dua negara tidak sebesar jiran mereka iaitu China dan Rusia, Kazakhstan menggalakkan kerjasama berterusan dengan Malaysia.

‘‘Kazakhstan kaya dengan sumber alam termasuk petroleum, gas asli dan uranium, kini giat menceburi industri baharu yang lebih mampan.

‘‘Untuk memperluaskan industri bukan berasaskan sumber alam, kami memerlukan pertukaran teknologi dan kepakaran dari luar termasuk Malaysia," katanya.

Dalam mencapai matlamat itu, Kazakhstan berusaha untuk sentiasa mewujudkan suasana pelaburan yang kondusif agar menjadi pilihan di peringkat global.

Ditanya adakah matlamat tersebut akan memberi laluan mudah kepada kemasukan pelabur Malaysia terutama dari aspek visa, kata beliau, adalah penting Kazakhstan mengamalkan dasar sama rata dengan semua negara.

Mengulas lanjut mengenai ekonomi negara itu, beliau berkata, Kazakhstan mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 7.5 peratus pada tahun lalu dan yakin mampu mencatat pertumbuhan tujuh peratus akhir tahun ini yang disifatkan antara pencapaian terbaik bagi sesebuah negara dalam suasana ketidaktentuan ekonomi dunia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment