My Add

Tuesday 4 December 2012

Malaysia sumbang tambahan USD1 juta bantu Palestin

PUTRAJAYA, ISNIN, 03 Disember, 2012:: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan sumbangan tambahan Malaysia USD1 juta (RM3.1 juta) kepada Agensi Pemulihan dan Kerja Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) untuk membantu pelarian berkenaan yang menghadapi keganasan tentera Israel di Gaza baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia baru-baru ini menyumbang RM1 juta kepada “Tabung Darurat Gaza" ditubuhkan oleh Yayasan Keamanan Global Perdana di bawah naungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tabung itu bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza. Sepasukan sukarelawan dari yayasan itu kini berada di Gaza menyampaikan bantuan kemanusiaan.

"Kami berharap dan berdoa ketidakadilan yang berlarutan ini dapat diselesaikan segera. Dalam pada itu, Malaysia akan terus membantu rakyat Palestin, sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan dan sokongan politik," katanya pada Hari Perpaduan Antarabangsa bersama Rakyat Palestin di sini hari ini.

Najib berkata, tahun lepas Malaysia menyalurkan bantuan kewangan USD2 juta (RM6.2 juta) bagi membantu mengimbangi kos operasi Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur selain menyediakan biasiswa kepada pelajar Palestin yang belajar di Malaysia; membantu pembangunan modal insan menerusi program latihan; dan menghantar bantuan kemanusiaan menerusi NGO Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment