My Add

Friday 14 December 2012

Malaysia tak hantar pengaman

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 *DR. AHMAD Zahid Hamidi memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera 
Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi 
(kanan) kepada Sukumpol Suwanatat (kiri) sempena kunjungan hormat beliau
 di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 Disember, 2012: Malaysia tidak akan terlibat atau menghantar pasukan pengaman ke selatan Thailand bagi menyelesaikan konflik di wilayah berkenaan walaupun mendapat permintaan daripada kerajaan negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya Malaysia lebih menumpukan kepada aktiviti-aktiviti memperkukuh sosioekonomi khususnya dalam pembangunan pendidikan dan infrastruktur di wilayah bergolak itu.

Perkara itu jelasnya, termasuk aspek pembangunan sistem pendidikan Islam yang komprehensif bagi diguna pakai di madrasah-madrasah di wilayah berkenaan.

‘‘Kita tak pernah dapat permintaan untuk terlibat dalam pasukan pengaman dan tak berhajat untuk menggunakan kekuatan tentera kita bagi membantu Thailand menyelesaikan masalah di wilayah selatan negara itu walaupun mendapat permintaan.

‘‘Apa yang ditegaskan ketika kunjungan rasmi Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra ke negara ini, baru-baru ini, ialah beberapa perkara yang tidak melibatkan operasi ketenteraan akan diberikan keutamaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Ke-51 antara Malaysia dan Thailand di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan Thailand, Sukumpol Suwanatat.

Mesyuarat sehari itu antara lain membincangkan tentang isu pengoperasian, latihan ketenteraan bersama, isu-isu sempadan serta sosial dan ekonomi termasuk mengekang aktiviti penyeludupan membabitkan sempadan Malaysia dan Thailand.

Ahmad Zahid sebelum itu diaju soalan sama ada model perjanjian damai di wilayah Mindanao, Filipina yang menyaksikan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) dapat diguna pakai untuk proses keamanan di selatan Thailand.

Jelasnya, model perjanjian damai di wilayah Mindanao dilihat tidak sesuai untuk digunakan dalam proses keamanan di selatan Thailand kerana situasi politik yang berbeza.

‘‘Di Mindanao, dari segi pembangunan, ia diberi kepada kawasan-kawasan yang memperoleh autonomi tetapi di selatan Thailand tidak ada autonomi. Sebaliknya pelabur-pelabur luar termasuk Malaysia diberikan peluang untuk membangunkan kawasan di selatan Thailand.

‘‘Pembangunan infrastruktur di Mindanao pula diberikan sepenuhnya oleh Manila. Berbanding di selatan Thailand, walaupun kerajaan pusat turut menyumbang tetapi pihak berkuasa tempatan juga memberikan kemudahan-kemudahan infrastruktur,’’ tegasnya.

Sementara itu, Sukumpol ketika diaju soalan sama berkata, kerajaan Thailand turut menjalankan kajian berhubung krisis di Mindanao. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment