My Add

Monday 24 December 2012

Mangsa banjir di Terengganu kini 330 orang

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 24 Disember, 2012: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dan setakat pukul 8 pagi ini sebanyak 330 orang berada di pusat pemindahan berbanding 144 petang semalam.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, selain Dungun dua lagi daerah dilanda banjir iaitu Marang dan Setiu yang membabitkan 49 keluarga.

Di Marang, 64 orang daripada 16 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Gading, sementara Setiu pula menyaksikan 94 orang membabitkan 33 keluarga dipindahkan ke surau Kampung Sungai Pinang dan masjid Kampung Sungai Bari, lapor BERNAMA.
Sementara itu, di Dungun, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 172 orang berbanding 144 semalam, membabitkan empat buah kampung.

Mereka terdiri daripada 49 penduduk Kampung Pulau Serai, 43 dari Kampung Batu Tiong, 51 mangsa dari Kampung Seberang Pintasan dan 29 orang penduduk Kampung Tok Kah.

Bagaimanapun, pusat pemindahan di Balai Raya Komuniti Tanjung Pagar yang menempatkan 33 mangsa semalam telah ditutup dan semua mangsa dibenar pulang.

11 keluarga di Kelantan dipindahkan akibat banjir

DI KOTA BHARU, Utusan melaporkan sebanyak 11 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan yang dibuka selepas kediaman mereka terputus hubungan akibat banjir, hari ini.

Kesemua mangsa tersebut adalah tujuh keluarga dari Kampung Pendek di daerah ini manakala empat lagi keluarga dari Kampung Bukit Awang di Pasir Puteh.

Dua pusat pemindahan yang dibuka setakat ini adalah Sekolah Kebangsaan Tiong, Kota Bharu dan Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh.

No comments:

Post a Comment