My Add

Saturday 8 December 2012

Mangsa Taufan Bopha bersesak-sesak di kem

 *ANGGOTA Pengawal Pantai Filipina, memunggah bekalan bantuan untuk
mangsa Taufan Bopha di New Bataan, Lembah Compostela, selatan Filipina,
 kelmarin. - AFP

NEW BATAAN, JUMAAT, 07 Disember, 2012: Beratus-ratus ribu mangsa yang terselamat daripada Taufan Bopha di Filipina, bersesak-sesak di pusat perlindungan dan terpaksa menghidu bau busuk mayat hari ini, ketika kerajaan berjanji mengambil tindakan untuk menghalang tragedi itu berulang.

Taufan Bopha yang melanda selatan negara ini pada Selasa lalu dan menyebabkan sekurang-kurangnya 546 orang maut, manakala 383 lagi masih hilang, adalah bencana alam terburuk tahun ini.

Presiden Benigno Aquino III hari ini turut mengunjungi pulau Mindanao untuk berjumpa mangsa terselamat yang kini terpaksa membina semula kehidupan mereka.

“Kami mahu mengetahui mengapa tragedi ini berlaku dan bagaimana cara untuk mengelak supaya bencana ini tidak berulang," katanya kepada orang ramai selepas tiba dengan helikopter di New Bataan, bandar paling teruk terjejas akibat taufan.

Daripada 306,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu, 2,000 daripadanya terpaksa tinggal di gelanggang bola keranjang di New Bataan, satu daripada beberapa bangunan yang masih elok di bandar yang menjadi pusat industri pisang dan perlombongan emas itu.

Mangsa dilaporkan terpaksa tidur di atas kerusi dan berkongsi hanya dua buah tandas.

Kerajaan Filipina telah merayu bantuan makanan, khemah, bekalan air bersih dan ubat-ubatan daripada pihak antarabangsa dengan segera, selain memberi amaran mangsa taufan yang terselamat terpaksa tinggal di pusat pemindahan selama beberapa bulan sebelum dipindahkan ke kediaman baharu.

Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas memberitahu wartawan ketika lawatan Aquino itu, lebih banyak pasukan penyelamat, peralatan dan unit anjing pengesan akan ditempatkan di kawasan yang terjejas teruk.

Beliau berkata, kerajaan turut menyiasat mengapa ramai mangsa maut, meskipun amaran telah dikeluarkan sebelum taufan melanda. - AFP

No comments:

Post a Comment