My Add

Thursday 20 December 2012

Masalah aliran tunai punca pemain kebangsaan lewat terima bonus

KUALA LUMPUR, RABU, 19 Disember, 2012:: Kelewatan pembayaran bonus kepada pemain badminton kebangsaan yang mencatat kejayaan di pentas antarabangsa seperti dijanjikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah disebabkan masalah aliran tunai.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh, berkata ia bukan satu perkara baru kerana pernah berlaku sebelum ini, dan berjanji akan menyelesaikannya bagi memastikan pemain memperoleh ganjaran masing-masing.

"Duit sememangnya ada, tetapi masalah aliran tunai yang melewatkan pembayaran bonus itu, namun BAM akan mencuba sebaik mungkin untuk mempercepat proses itu.

"Saya bagaimanapun tidak boleh mengulas lanjut mengenai aliran wang itu kerana tidak mahu menjejaskan nama baik pihak-pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Laporan akhbar hari ini menyebut beberapa pemain badminton kebangsaan mendakwa mereka tidak menerima bonus pencapaian sejak Jun tahun lalu.

Badan induk badminton negara itu sebelum ini berjanji akan memberi bonus kepada pemain negara yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir sehingga final dalam kejohanan antarabangsa.

Kenny berkata, BAM sebenarnya mempunyai dana sendiri untuk membayar bonus pencapaian pemain, namun wang itu digunakan bagi menampung perbelanjaan pemain remaja kebangsaan beraksi di kejohanan luar negara.

Beliau memberi jaminan selepas memperoleh wang daripada pihak tertentu, duit berkenaan akan digunakan bagi membayar bonus pencapaian pemain kebangsaan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment