My Add

Saturday 22 December 2012

Masuk i-City secara percuma sempena Karnival Sayangi Selangor

SHAH ALAM, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Orang ramai khususnya di Selangor berpeluang meluangkan masa bersama keluarga secara percuma di i-City sempena Karnival Sayangi Selangor anjuran Barisan Nasional (BN) negeri selama empat hari bermula 29 Disember ini.

Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, penganjuran karnival itu merupakan antara usaha pihaknya untuk meraikan rakyat dalam suasana kekeluargaan selain mewujudkan kesedaran dan persefahaman mengenai pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di bawah pimpinan BN.

"BN Selangor mendapat kerjasama baik daripada i-City untuk membenarkan kemasukan percuma sepanjang karnival itu berlangsung dan pengunjung juga boleh merasai taman tema air i-City secara percuma pada 31 Disember ini selepas pukul 7 malam," katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan persiapan penganjuran karnival tersebut di i-City di Seksyen 7 di sini hari ini.

Katanya, selain masuk percuma, pihaknya turut menyediakan lebih 100 gerai kepada pengunjung yang menjual pelbagai produk termasuk hasil keluaran industri kecil dan sederhana serta produk daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor akan dijual pada harga berpatutan.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga akan membuka konti Radio BN Selangor termasuk kaunter Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) sepanjang karnival berlangsung bagi membolehkan orang ramai menyalurkan aduan secara terus kepada BN negeri.

Malah ujarnya, karnival itu turut mendapat kerjasama daripada badan korporat dan swasta menerusi pameran kerjaya dengan 6,000 tawaran peluang pekerjaan untuk diisi oleh rakyat.

Dalam pada itu, pengunjung juga berpeluang berhibur bersama keluarga dalam Konsert Ambang Tahun Baru 2013 yang diadakan pada malam kemuncak karnival iaitu pada 31 Disember ini yang menampilkan artis tempatan seperti Alyah, Fiq, Logeswaran, Jinbara dan sebagainya termasuk penampilan khas artis Bollywood.

Selain itu, acara kemuncak karnival tersebut dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan turut serta mengadakan countdown ambang tahun baru 2013 yang disusuli dengan pertunjukan bunga api. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment