My Add

Wednesday 19 December 2012

Masyarakat perlu lapor segera kes dera kanak-kanak: Shahrizat

ALOR SETAR, SELASA, 18 Disember, 2012: Masyarakat dan jiran sekeliling perlu bertindak segera dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika melihat atau mengetahui ada kes penderaan kanak-kanak di kawasan mereka.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, terdapat terlalu banyak kes penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian sejak kebelakangan ini yang tidak boleh dibiar berterusan.

"Kalau mereka takut untuk tampil ke depan, mereka boleh telefon talian Nur 15999 dan tindakan segera akan diambil untuk mengelakkan kes penderaan daripada terus berlaku," katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga mangsa dera sehingga mati, Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, 2, di Rumah Pangsa Simpang Kuala, di sini, hari ini.

Muhammad Faiz Iqhmal disahkan meninggal dunia jam 3.30 petang semalam selepas dikatakan tidak sedarkan diri, dan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati ususnya cedera teruk dan pankreasnya putus.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang turut melawat keluarga berkenaan, berharap kejadian yang menimpa Muhammad Faiz Iqhmal menjadi iktibar kepada masyarakat agar lebih mengambil berat antara satu sama lain.

Beliau juga berharap supaya polis menyiasat kes itu dengan teliti dan pihak bersalah dikenakan hukuman setimpal.

Polis hari ini menahan seorang suspek lelaki berusia 28 tahun hari ini, selepas bedah siasat mengesahkan kanak-kanak itu mati akibat didera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment