My Add

Friday 14 December 2012

Memperkasa srikandi negara

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 Dis Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited melahirkan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita untuk berada pada kedudukan peneraju dalam sektor swasta seperti mana yang diumumkannya Jun tahun lepas.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya golongan wanita mampu memikul tanggungjawab itu sekiranya mereka diberi peluang berada pada kedudukan tersebut.

Menurutnya, semua pihak tidak harus lupa tentang satu fakta iaitu berdasarkan penyelidikan oleh beberapa badan seperti Mckinsey, Bain & Company serta Catalyst telah membuktikan penyertaan wanita di dalam lembaga korporat mampu meningkatkan prestasi syarikat.

''Sememangnya golongan wanita telah memberi sumbangan yang cukup besar terutama dalam menampung sebahagian daripada keperluan modal insan khusus untuk pembangunan ekonomi negara ini,'' katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Chairman Power Breakfast di sini hari ini.

Teks ucaptama Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Yang turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Pengarah Institut Pengupayaan Wanita NAM (NIEW), Tan Sri Dr. Rafiah Salim.

Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyentuh kejayaan pihak kementeriannya mengendalikan Program Pengarah-Pengarah Wanita (WDP) 2012 dalam usaha melahirkan lebih ramai kumpulan pengarah daripada golongan itu.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 220 wanita telah menjalani program tersebut dan kini telah bersedia menyumbang khidmat mereka di dalam dunia korporat.

Beliau percaya kumpulan wanita terbabit mampu menunjukkan keupayaan mereka.

''Untuk itu, saya ucapkan tahniah kepada pihak kementerian yang berjaya mengendalikan program ini dengan penuh semangat serta fokus dalam usaha mencapai sasaran melahirkan lebih 200 wanita yang berbakat sebagai pengarah,'' katanya.

Sementara itu Idris dalam sidang akhbarnya berkata, 220 wanita terbabit akan ditempatkan di mana-mana syarikat untuk berkhidmat sebagai pengarah mulai tahun depan.

''Program ini akan kita teruskan dan untuk tahun depan sebanyak 500 wanita lagi akan kita pilih dan kemudian mereka akan menjalani latihan di bawah WDP.

''Inilah sebahagian daripada usaha keras kerajaan untuk meningkatkan jumlah wanita berada pada kedudukan pengarah dalam sesebuah syarikat sekali gus membuktikan komitmen kerajaan melahirkan 30 peratus wanita sebagai peneraju syarikat pada tahun 2016,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment