My Add

Monday 24 December 2012

Misi bantuan KP1M berdepan risiko taufan

DAVAO (Mindanao), ISNIN, 24 Disember, 2012: Misi kemanusiaan Malaysia kelolaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bagi membantu mangsa taufan Bopha di wilayah ini berdepan risiko taufan kira-kira jam 6 petang ini.

Presiden KPIM, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi itu berkata, beliau dimaklumkan Konsul Jeneral Malaysia di Davao City Abdullah Zawawi Tahir, bahawa pergerakan taufan dikesan menuju ke lokasi sama yang dilanda taufan Bopha pada 3 Disember lalu.

"Taufan (baharu) ini dijangka melanda sebahagian Mindanao termasuk lokasi di mana kita akan serahkan bantuan dalam tempoh 12 jam dari sekarang (6 pagi).

"Bagaimanapun, kita masih belum mendapat jangkaan kelajuan serta sejauh mana seriusnya taufan kali ini," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, misi itu yang kini dalam perjalanan ke bandar Banganga, iaitu antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat taufan Bopha tersebut, akan dimaklumkan mengenai situasi semasa setiap setengah jam oleh pihak berkaitan serta dipantau Abdullah Zawawi.

"Kita akan mendengar arahan dan bersedia membuat evakuasi sekiranya diarahkan," kata Abdul Azeez sambil meminta rakyat Malaysia mendoakan keselamatan semua anggota misi kemanusiaan itu.

Misi yang disertai 47 sukarelawan termasuk petugas perubatan dan warga media itu, tiba di sini Ahad dengan pesawat Charlie milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang turut membawa bantuan seberat lapan tan. 

Sementara itu, Abdullah Zawawi berkata, pihaknya sedang memantau laman web rasmi Jabatan Meteorologi Korea untuk mengikuti perkembangan semasa berkaitan taufan yang dijangka melanda Mindanao.

"Jenis dan kelajuan taufan itu masih belum dikenal pasti, namun hujan lebat dijangka berlaku ketika anggota misi kemanusiaan ini tiba di Banganga kira-kira 12 tengah hari," tambahnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment