My Add

Sunday 16 December 2012

Misi dagang, pelaburan ke India tarik potensi pelaburan RM191 juta

HYDERABAD, AHAD, 16 Disember, 2012: Misi perdagangan dan pelaburan ke Mumbai dan Hyderabad di India menarik potensi pelaburan RM191 juta, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Beliau berkata, anggaran potensi pelaburan itu dijangka di dalam pelbagai sektor seperti komponen elektrik, farmaseutikal, perkhidmatan teknologi maklumat (IT), pertanian dan pemprosesan makanan, pembangunan infrastruktur dan peranti perubatan.

Ketika misi tiga hari itu, Mustapa menemui pemimpin pelbagai industri di pusat kewangan India di Mumbai dan Hyderabad, yang mempunyai industri IT yang maju.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Noharuddin Nordin, Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dr Wong Lai Sum dan Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Citra Devi Ramiyah.

"Di Mumbai 45 pegawai kanan mengambil bahagian dalam perundingan meja bulat manakala 25 orang lagi hadir di Hyderabad," katanya pada sidang media.

Mustapa menyifatkan pertemuan itu sebagai "berjaya" apabila beberapa syarikat di Mumbai dan Hyderabad melahirkan minat yang kukuh bagi mewujudkan projek di Malaysia.

Beliau berusaha mengemukakan Malaysia sebagai satu destinasi menarik untuk pelaburan.
“Malaysia terletak secara strategik antara dua pasaran yang sedang berkembang - China dan India. Ia juga terletak pada kedudukan yang baik dalam Asean dan mempunyai hubungan udara yang baik,” katanya.

Katanya, kedua-dua syarikat Malaysia dan India perlu mengambil kesempatan daripada hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.

“Hubungan perdagangan yang kukuh itu telah mendorong kepada jalinan beberapa usaha sama antara syarikat kedua-dua negara. Ini perlu berkembang lebih kukuh lagi," katanya.

Katanya, India terus menjadi pasaran paling penting bagi produk minyak sawit dan kayu Malaysia.

Wujud juga minat yang semakin meningkat di kalangan pengguna India bagi mendapatkan produk lain seperti perabot dan barang kemas.

Pertumbuhan besar import dari India juga dilihat bagi produk pertanian seperti jagung, getah mentah serta produk makanan laut, katanya.

Mengenai perdagangan dua hala, katanya perdagangan dua hala India dengan Malaysia dicatatkan hampir AS$12.54 bilion pada tahun lalu berbanding dengan AS$8.98 bilion pada 2010.

New Delhi dan Putrajaya telah menetapkan sasaran dua hala US$15 bilion menjelang 2015.

"Ia tidak sukar untuk dicapai dan kita sedang mengkaji menyemak semula secara menaik perangkaan itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment