My Add

Saturday 15 December 2012

Misi kedua bantu mangsa taufan Bhopa

Oleh Ilah Hafiz Aziz

 *SANUSI Samion (tiga dari kiri), Mohd. Ariff Baharom (kanan) melihat barangan
 yang dibawa untuk misi bantuan ke Davao, Mindanao di Pangkalan Udara  
TUDM, Subang, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

DAVAO, MINDANAO, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Keperitan rakyat Filipina di selatan kepulauan Mindanao yang dilanda bencana taufan Bopha mendapat perhatian Malaysia untuk menghantar bantuan kemanusiaan kali kedua hari ini.

Bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri itu adalah dalam bentuk barangan keperluan seberat 11,000 kilogram.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana MKN, Mohd. Arif Baharom berkata, bantuan tersebut yang disampaikan hari ini bernilai hampir RM250,000.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan satu lagi misi bantuan kemanusiaan setelah membuat penghantaran kali pertama minggu lalu.

“Kedua-dua bantuan ini adalah dalam bentuk barangan yang amat diperlukan mangsa untuk meneruskan kehidupan selepas melalui bencana alam itu," katanya di sini hari ini.

Katanya, bantuan kali ini dihantar ke Davao adalah yang dirasakan kritikal dan bernilai tinggi seperti barangan makanan, bahan makanan tambahan kanak-kanak serta keperluan untuk tempat tinggal sementara.

Barangan tersebut adalah 2,970 kilogram beras, 840 tin susu tepung kanak-kanak, 1,500 helai tuala, 1,872 unit khemah yang boleh memuatkan enam orang, 1,020 unit bekas air dan 1,680 kilogram makanan rangsum tempur.

Sebelum ini, pada 7 Disember lalu, Malaysia melakukan penghantaran kemanusiaan berupa barangan seperti selimut, tuala, tikar, beras, susu tepung dan biskut seberat lebih kurang 10 tan ke Filipina.

Penghantaran bantuan kedua ini telah menggunakan pesawat Tentera Udara Malaysia (TUDM) C-130 yang membawa 13 pegawai kerajaan yang diketuai Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan Bahagian Operasi Latihan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, Brigedier Jeneral Sanusi Samion.

Turut menyertai misi tersebut adalah tiga wakil kementerian, empat wakil Majlis Keselamatan Malaysia dan lima wakil media tempatan.

Taufan Bhopa membawa angin kencang sekuat 210 kilometer sejam dan memusnahkan kediaman sebelum menuju ke Laut China Selatan dua minggu lalu.

Akibat taufan terburuk yang melanda Selatan Filipina itu, sekurang-kurangnya 902 penduduk kepulauan itu terkorban dan masih hilang.

Negara itu mula menerima bantuan luar termasuk dari Amerika Syarikat yang menyalurkan bantuan tambahan sebanyak AS$3 juta (RM9juta) daripada bantuan awal berjumlah AS$100,000 (RM300,000) bagi usaha-usaha menyelamat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment