My Add

Friday 21 December 2012

Misi KP1M bantu mangsa Taufan Bopha berlepas Ahad ini

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) akan menghantar misi kemanusiaan ke selatan Filipina Ahad ini, bagi membantu mangsa Taufan Bopha yang melanda wilayah itu, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata misi itu akan membawa bantuan seberat lapan tan dan disertai 47 sukarelawan termasuk petugas media.

Bantuan yang meliputi makanan, ubat-ubatan dan produk nutrisi bayi itu akan dihantar menaiki pesawat Charlie milik Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM), katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Azeez, misi itu ke sana selepas KP1M mendapat segala maklumat yang diperlukan daripada enam sukarelawan yang dihantar ke kawasan bencana sebagai pasukan peninjau semalam.

Abdul Azeez yang akan mengetuai misi itu, berkata beliau sudah bertemu Duta Filipina ke Malaysia, J Eduardo Malaya yang memberi jaminan mengenai aspek keselamatan di kawasan terbabit.

Dalam misi KP1M dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan TUDM itu, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman akan bertindak sebagai ketua pasukan perubatan manakala Hanif Ahmad ketua bahagian keselamatan.

Sementara itu, Dr Alwi yang turut hadir berkata 14 pakar perubatan yang menyertai misi itu akan memberi rawatan kepada mangsa yang rata-rata mengalami masalah seperti cirit-birit dan jangkitan kulit. 

"Kita akan berkerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan di wilayah itu dan tiga hospital bagi melancarkan proses bantuan perubatan," katanya.

Taufan Bopha yang melanda 3 Disember lalu dilapor mengorbankan lebih 900 nyawa manakala kira-kira 1,000 mangsa masih hilang dan 80,000 mangsa hilang tempat perlindungan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment