My Add

Wednesday 12 December 2012

MSC terus berkembang tahun depan


KUALA LUMPUR, SELASA, 11 Disember, 2012: Perniagaan syarikat berstatus MSC Malaysia dijangka terus berkembang tahun depan dan menikmati manfaat daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) meskipun senario ekonomi global yang tidak menentu, kata Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

MDeC, badan yang bertanggungjawab bagi inisiatif MSC Malaysia, telah mengenal pasti peluang perniagaan tersedia di bawah projek ETP yang boleh membantu memacu pendapatan syarikat berstatus MSC, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisham Ghazali.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata, 86 peratus daripada 133 projek permulaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara di seluruh negara akan memerlukan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti MY Rapid Transit.

Badlisham berkata, kerajaan telah dimaklumkan untuk mengenal pasti keperluan ICT dalam projek-projek akan dilaksanakan dan MDeC akan memeriksa sama ada keperluan itu boleh dipenuhi oleh syarikat-syarikat yang berada di MSC Malaysia.

"Kerajaan bersetuju untuk berbincang dengan syarikat-syarikat itu," katanya sambil menambah syarikat berstatus MSC Malaysia telah melaksanakan banyak projek bagi syarikat konglomerat seperti untuk AirAsia dan Celcom.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata, 30 peratus daripada syarikat berstatus MSC telah gagal setakat ini tetapi baki 70 peratus menjadi semakin kukuh dan bertambah baik dalam membangunkan penyelesaian bagi memenuhi permintaan.

Badlisham berkata, MDeC akan terus membawa masuk sasaran tahunan RM2 bilion pelaburan baharu, dalam dan juga luar negara tahun depan.

"Kami gembira melihat syarikat-syarikat yang bermula tahun lepas dan tahun ini sedang mencari lebih ramai pekerja," katanya.

Justeru itu, programnya sekarang menumpukan kepada mengenalpasti dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi permintaan industri.

Dalam bahagian kandungan kreatif, Badlisham berkata, terdapat banyak permintaan bagi kandungan disebabkan bilangan saluran pengedaran yang tinggi dengan saluran TV baharu dan saluran Internet.

"Syarikat tempatan kami berusaha sendiri menerusi usaha sama dan membekalkan kandungan mereka kepada orang lain yang akan menjenamakannya.

"Ini juga akan memacu banyak pendapatan dan peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment