My Add

Monday 24 December 2012

Muhyiddin terima kunjungan tiga duta baru

PUTRAJAYA, ISNIN, 24 Disember, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan hormat tiga bakal duta besar Malaysia ke luar negara yang baru dilantik, di pejabatnya di sini hari ini.

Mereka ialah Datuk Mohd Zamri Mohd Kassim yang akan ke Filipina, Anuar Kasman ke Bosnia Herzegovina, dan Tajul Aman Mohammad ke Timor Leste.

Mohd Zamri yang sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Konsular di Kementerian Luar dari 2010 sehingga 2012, berkata beliau akan memainkan peranan untuk memperkukuhkan hubungan diplomasi yang terjalin antara Malaysia dan Filipina.

Katanya, selari dengan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, beliau memikul tanggungjawab untuk merapatkan hubungan ekonomi dan pelaburan antara Malaysia dan Filipina.

"Keamanan di Selatan Filipina membuka peluang yang besar bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk merealisasikan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan. Sebagai ketua perwakilan Malaysia, kita akan sedaya upaya melaksanakan agar ia menjadi satu kenyataan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.

Anuar yang merupakan Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, India dari 2008 sehingga 2012 berkata Malaysia akan meneruskan hubungan baik dengan Bosnia Herzegovina agar rakyat negara itu lebih maju ke hadapan.

Beliau berkata, Malaysia sering membantu Bosnia Herzegovina termasuk dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia. 

"Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mahu jadikan Bosnia Herzegovina sebagai gerbang hab halal bagi negara-negara Balkan," katanya.

Anuar sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Penasihat Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi (2001-2005) dan Penasihat Kedutaan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh (1997-2001).

Sementara itu, Tajul Aman, yang berkhidmat sebagai Menteri Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand dari 2011 sehingga kini, berkata Malaysia akan terus membantu Timur Leste yang baru merdeka 10 tahun itu.

"Selain memastikan ekonomi kedua-dua negara terjalin, saya juga diberi tugas untuk memastikan hubungan Malaysia dan Timur Leste lebih akrab dan memastikan kita dapat memberi bantuan dan terlibat dalam kegiatan-kegiatan ekonomi di negara itu," katanya.

Tajul Aman pernah menyandang jawatan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi (2005-2007) dan Penasihat Kedutaan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Harare, Zimbabwe (2002-2005). - BERNAM

No comments:

Post a Comment