My Add

Saturday 8 December 2012

 Anwar mula panik

*FUADmenunjukkan replika cek sumbangan untuk diserahkan kepada Tabung Bantuan Palestin.

KAMARUL HALIM M KAMAL
BATU PAHAT, SABTU, 08 Disember, 2012: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa PKR semakin tergugat sehingga memaksa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membawa bekas pemimpin luar untuk meyakinkan ahli parti pembangkang itu.

Beliau berpendapat, tindakan itu menunjukkan Anwar mulai panik, terutamanya apabila peringkat akar umbi Pas serta intelektual Islam mula mempertikaikan kepimpinannya untuk menjadi perdana menteri, jika Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, Anwar bimbang dengan situasi itu sehinggakan membawa bekas Presiden Indonesia, Prof Dr Ir Bacharuddin Yusuf Habibie atau lebih dikenali BJ Habibie ke Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam, kelmarin.

“Dibawanya Habibie untuk merasionalkan apa yang berlaku di Indonesia semasa zaman reformasi.

“Namun sebenarnya, Anwar bimbang kehilangan sokongan akar umbi Pas dan golongan intelektual Islam, “ katanya selepas majlis penyerahan Tabung Bantuan Palestin di Kampung Petani, semalam.

Mohd Puad berkata, walaupun wujud kumpulan dalam Pas yang menyokong kuat Anwar, namun ia tidak dapat menghalang akar umbi parti itu dalam muktamarnya baru-baru ini yang mahukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri.

Katanya, pelbagai isu berbangkit menyebabkan akar umbi Pas dan intelektual Islam kini seolah-olah menolak Anwar sebagai calon perdana menteri, malah menjadi beban kepada parti itu.

“Saya rasa isu siapa yang layak jadi Perdana Menteri ini masih panas, tetapi Anwar cuba nak padamkannya, sebab itu dia bawa Habibie.

“Anwar bimbang suara-suara yang tak sepatutnya wujud mempersoalkan dia sebagai calon Perdana Menteri.

“Dia lebih bimbang jika suara ini datang daripada Pas. Dia tak bimbang jika suara ini datang daripada DAP,” katanya.

Menurut beliau, jentera Pas lebih kuat dan berpengalaman berbanding PKR. Sebab itu kehilangan sokongan akar umbi daripada Pas amat membimbangkan Anwar.

Beliau berkata, situasi tersebut juga menunjukkan pakatan pembangkang sangat rapuh apabila tiada kesepakatan untuk memilih calon Perdana Menteri.

Kelmarin, Habibie hadir di Dewan Pro Canselor, Unisel, pada majlis pidatonya bertajuk Habibie dan Transisi Indonesia ke Demokrasi.

Dalam pidatonya, BJ Habibie turut berkongsi pengalaman mengenai proses transisi Indonesia ke arah demokrasi dan juga pengalaman pembangunan teknologi industri penerbangan di negara itu. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment